Annuar sedih UMNO tidak seperti Bersatu, Pas

Iklan
Annuar Musa

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sedih dan pilu apabila Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperbaharui iltizam untuk terus bekerjasama namun partinya sendiri, UMNO mengambil tindakan sebaliknya.

Annuar berkata, Pas dan Bersatu konsisten berjuang bersama dan meletakkan agenda penyatuan di hadapan tetapi UMNO mengisytiharkan perpecahan.

Iklan
Iklan

"Biar apa pun reaksi yang cuba ditunjukkan, hati kecil saya tetap merasa pilu dan sedih menatap kenyataan dua parti politik Melayu memperbaharui iltizam mengikat kerjasama ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

"Sementara parti saya sendiri mengisytiharkan perpecahan demi perpecahan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Iklan

Pada Rabu, Bersatu dan Pas menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

Dalam satu kenyataan bersama pada Rabu, kedua-dua parti menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15 terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Iklan

Sehubungan itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan beliau tidak akan berputus asa untuk membawa UMNO kembali ke jajaran asal.

"Dengan saki baki kudrat yang masih ada, saya istiqamah berjuang atas paksi membawa UMNO dalam jajaran asal.

"Berpaksi penyatuan parti Melayu bersama parti sahabat yang lain untuk menentang PH dan yang bersama mereka,” katanya.

Tambah beliau, walaupun perjuangan menyatupadukan ummah dengan berpegang tali ALLAH akan terus dipikul dan dijunjung.

"Hubungan baik dan gerak perjuangan akan diteruskan dengan semua 13 parti dalam gabungan PN.

"Tidak mungkin bergerak sendiri, apa lagi bertempur sesama parti Melayu yang hanya menguntungkan parti sosialis DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Insya-ALLAH kita akan terus berjuang,” katanya.