Lagi 26 Rumah Ngaji ditubuhkan di Perak

Iklan
Harith Fadzilah menyerahkan gegantung Rumah Ngaji kepada Penggerak Rumah Ngaji Sahabat Amal Darul Ridzuan, Suryana Othman sambil diperhatikan Normah Hanum (kiri) pada Program Training of Trainers (TOT) anjuran Rumah Ngaji Perak di sebuah hotel di Ipoh pada Rabu.

IPOH - Rumah Ngaji di Perak terus berkembang dengan penubuhan 26 lagi Rumah Ngaji menjadikan keseluruhan berjumlah 98 buah.

Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, pertambahan Rumah Ngaji baharu itu atas inisiatif sekretariat Rumah Ngaji Perak yang berusaha mencari guru untuk mengajar masyarakat mendalami al-Quran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasrat utama penubuhan Rumah Ngaji baharu itu untuk menggalakkan lebih ramai orang membaca dan memahami al-Quran ketika bulan Ramadan nanti.

"Alhamdulillah kita berjaya wujudkan Rumah Ngaji sehingga ke Gerik, Lenggong, Teluk Intan dan Parit Buntar. Tujuan kita tubuhkan banyak Rumah Ngaji baharu ini nak ajak masyarakat membaca, mengamal dan faham al-Quran.

Iklan

"Kita mahu orang yang membaca dan memahami al-Quran ini menjadi orang Islam yang berakhlak mulia dan bersatu padu. Zaman ini kita tengok orang Islam suka bergaduh. Harapan saya, apabila banyak baca al-Quran kita akan berakhlak mulia," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Training of Trainers (TOT) anjuran Rumah Ngaji Perak di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir menyempurnakan perasmian penutup, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim dengan turut disertai Pengasas Kitab Al-Badar, Dr Shamsul Mohd Noor.

Iklan

Sementara itu, Normah Hanum berkata, sepanjang bulan Ramadan nanti, semua penggerak dan ahli Rumah Ngaji di negeri ini akan menggunakan kaedah Al-Badar iaitu sistem genius membaca al-Quran dalam tempoh 21 jam pembelajaran.

Katanya, setiap Rumah Ngaji akan memperhebatkan program bacaan al-Quran, tadabbur dan sebagainya sepanjang bulan Ramadan.

Beliau berkata, Rumah Ngaji Perak merancang untuk mengadakan program khas sempena bulan Ramadan untuk membantu golongan miskin, anak yatim dan gelandangan.

Jelasnya, program tersebut diadakan bagi menunjukkan akhlak murni mereka yang membaca al-Quran selain menggalakkan lebih ramai orang menyertai Rumah Ngaji.

"Jika tiada halangan dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kita juga berhasrat untuk berbuka puasa di rumah orang tua, ibu tunggal dan anak yatim," katanya.