JOHOR BAHRU- Kerajaan negeri akan memberikan pengecualian bayaran permit, sewa tapak, lesen sementara dan yuran pendaftaran serta wang proses kepada peniaga bazar Ramadan pada tahun ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil berkata, pengecualian bayaran itu diberikan berikutan penularan Covid-19 dan pemulihan sektor ekonomi.
"Pada tahun ini, sebanyak 9,609 petak jualan disediakan untuk peniaga-peniaga menjalankan perniagaan di 193 lokasi tapak bazar Ramadan di semua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor yang terdiri daripada bazar-bazar jualan juadah berbuka puasa dan bazar Aidilfitri.
"Penganjur tidak dibenarkan mengenakan caj yang tinggi kepada peniaga bazar. Bayaran yang boleh dikenakan kepada peniaga bazar hanya bagi perkara meliputi khemah, apron, kebersihan atau pengurusan sisa pepejal, kawalan keselamatan dan utiliti," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurut Ayub, operasi bazar Ramadan di seluruh kawasan PBT di negeri ini dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagaimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Tindakan menghentikan atau menutup operasi bazar Ramadan boleh diambil sekiranya berlaku penularan wabak Covid-19 di kawasan tersebut.
"Justeru, PBT, penganjur, peniaga dan pengunjung perlu mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan operasi bazar Ramadan pada tahun ini dapat diadakan selaras dengan pematuhan amalan normal baharu bagi tempoh sebulan," katanya.
Tambahnya lagi, menerusi mesyuarat penyelarasan penganjuran bazar Ramadan bersama PBT di negeri ini pada 21 Mac lalu beberapa peraturan telah dipersetujui bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung sepanjang penganjuran bazar Ramadan.
"Antaranya lokasi bazar Ramadan di kawasan terbuka, perlu menyediakan laluan sehala dengan pintu masuk dan keluar berbeza dan pendaftaran dengan mengimbas MySejahtera di pintu masuk.
"Selain itu waktu operasi bazar Ramadan dari jam 3.00 petang hingga 8.00 malam sementara bazar Aidilfitri dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam," katanya.