Lelaki curi kabel diberkas

Iklan
Asisten Komisioner Abd Khalid Othman

SUBANG JAYA - Seorang lelaki diberkas kerana disyaki mencuri kabel di tapak projek pembinaan di Taman Puchong Utama, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, suspek berusia 40-an itu ditahan oleh pengawal keselamatan tapak pembinaan tersebut sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Iklan
Iklan

"Kejadian jam 3.40 pagi itu disedari oleh pengurus pengawal keselamatan apabila menerima panggilan daripada pekerjanya yang memaklumkan beberapa orang lelaki sedang berkeliaran di dalam tapak projek pembinaan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Abd Khalid berkata, pengurus pengawal keselamatan bersama beberapa pekerjanya telah datang ke tapak projek pembinaan itu.

Iklan

"Kumpulan penjenayah itu bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran pengawal keselamatan. Salah seorang suspek telah terjatuh dan berjaya ditangkap bersama beberapa gulung kabel," katanya.

Beliau berkata, pengurus pengawal keselamatan itu telah menghubungi pihak polis untuk tangkapan semula.

Iklan

"Pengurus pengawal keselamatan itu mendakwa anggaran kerugian sebanyak RM20,000," katanya.

Abd Khalid berkata, suspek telah direman selama tiga hari sehingga Khamis untuk membantu siasatan.

"Kita masih mengesan saki baki kumpulan penjenayah itu," katanya.