BUTTERWORTH - Tujuh pihak termasuk syarikat, ahli lembaga pengarah dan bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berdepan dengan tindakan undang-undang kerana salah guna kuasa melibatkan pembelian dan penjualan tanah di negeri ini.
Pengerusi Perda, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, berdasarkan siasatan sejak Januari lalu, pihaknya mendapati 15 fail meragukan dan perlu siasatan lanjut dijalankan termasuk membabitkan seorang Ahli Parlimen di negeri ini.
Menurutnya, empat daripada jumlah fail itu dipercayai berlaku salah guna kuasa dan pecah amanah melibatkan kerugian RM57.8 juta.
"Kita memfailkan saman ke atas dua fail iaitu yang pertama melibatkan tanah berkeluasan 3.79 hektar di Tok Keramat, Nibong Tebal pada 13 Februari dan fail kedua melibatkan 2.35 hektar tanah Sungai Baong, Jawi dan difailkan kelmarin (14 Februari).
"Kedua-dua tanah itu di bawah pengurusan Perda, namun ia didapati dijual di bawah harga pasaran. Urusan jual beli tanah di Tok Keramat dilakukan pada 24 Jun 2015 manakala di tanah Sungai Baong dibuat pada 6 Mei 2015," katanya kepada media di sini
Menurutnya, kehilangan hartanah itu tidak boleh dijustifikasi dan kedua-duanya difailkan bagi membolehkan tanah tersebut diperolehi semula. Namun jika gagal, tuntutan ganti rugi serta pampasan akan dilakukan.
"Fail ketiga pula melibatkan urusan pembelian tanah di Simpang Tiga, Tasek Gelugor seluas 18.4 hektar manakala fail keempat melibatkan urusan perjanjian pengurusan projek di tanah Pantai Teluk Bayu, Sungai Batu seluas 12.3 hektar.
"Bagi fail ketiga dan keempat, ia masih belum difailkan di mahkamah kerana masih dalam siasatan untuk memperolehi maklumat lanjut. Kedua-dua fail ini melibatkan anak syarikat Perda, Perda Ventures Incorporated (PVI)," katanya.
Mohamed Haniff berkata, sehubungan itu, Perda menggantung operasi pengurusan PVI sehingga siasatan selesai dan semua urusan PVI akan diambil alih selain lembaga interim ditubuhkan dengan diketuai olehnya.