PENGURUS England, Gareth Southgate yakin pemain pertahanan John Stones akan kembali berada prestasi terbaiknya setelah melakukan kesilapan ketika berdepan Polland pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 di Wembley pada awal pagi Khamis.
Menurut Southgate, biarpun kesilapan Stones hampir mencalarkan rekod bersih skuad The Three Lions itu pada aksi kelayakan berkenaan kali ini,namun pemain berkenaan perlu diberikan peluang untuk terus beraksi.
"Semua pemain akan melakukan kesilapan, ada yang dihukum dan ada yang tidak dihukum kerana kesilapan itu.
"Bagi saya, ia pasti bukan mudah untuk Stones ketika ini setelah melakukan kesilapan itu.
"Bagaimanapun Stones kemudiannya telah beraksi seperti biasa dan apa yang tambah menggembirakan saya adalah apabila semua pemain turut memberikan respon positif kepada Stones,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, kapten England, Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-19 untuk gol pembukaan perlawanan.
Namun, pada minit ke-58, Jakub Moder menjaringkan gol penyamaan buat Poland hasil kesilapan yang dilakukan Stones.
Bagaimanapun Harry Maguire muncul wira The Three Lions apabila menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan pada minit ke-85.
Kemenangan berkenaan menyaksikan England terus mendahului Kumpulan I dengan sembilan mata.
Sementara itu Southgate berkata, dia berpuas hati dengan kemenangan berkenaan terutamanya terhadap progres yang ditunjukkan kesebelasan pemain pada setiap perlawanan yang diharungi.
"Saya gembira dengan pendekatan yang dibuat oleh pemain-pemain dalam usaha mencapai objektif pasukan kali ini.
"Secara keseluruhannya, kita telah meraih sembilan mata dan saya cukup berpuas hati dengan pencapaian berkenaan,” katanya.