WELLINGTON - Berita Wellington sah sebagai tuan rumah Piala Dunia Wanita FIFA 2023 memperkukuh reputasinya sebagai bandar bola sepak New Zealand, kata Datuk Bandar Wellington Andy Foster pada Khamis.
Piala Dunia Wanita FIFA 2023 pada Rabu malam mengumumkan sembilan bandar tuan rumah dan 10 stadium di Australia dan New Zealand akan menjadi gelanggang perlawanan sepanjang kejohanan berlangsung, lapor Agensi Berita Xinhua.
Bidaan bersama Australia-New Zealand untuk menjadi tuan rumah satu daripada acara sukan terbesar di dunia itu disahkan FIFA pada pertengahan 2020. Buat julung kali ia dihoskan secara bersama dan edisi pertama menampilkan 32 pasukan.
Empat bandar di New Zealand ialah Auckland, Hamilton, Wellington dan Dunedin.
Jumlah perlawanan sebenar di Wellington akan diumumkan kemudian namun semuanya akan berlangsung di Stadium Wilayah Wellington.
"Sebagai Datuk Bandar dan fanatik bola sepak, saya benar-benar berharap dapat menjadi tuan rumah satu daripada acara sukan terbesar dunia.
"Sesiapa yang pernah menyaksikan Piala Dunia Wanita FIFA sebelum ini pasti tahu betapa seronoknya perlawanan itu dapat disaksikan penduduk dan pengunjung kami.
"Ini juga akan merangsang sektor penginapan, perhotelan dan peruncitan sambil menyuntik semangat kepada bandar ini," kata Andy Foster.
Kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA yang diadakan di Perancis pada 2019 menarik 1.12 bilion penonton televisyen. - Bernama