Perbezaan pendapat bersifat individu, bukan wakili UMNO Perlis

Iklan
Azlan

KANGAR - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menyifatkan perbezaan pandangan yang wujud dalam kalangan pemimpin UMNO di negeri itu berhubung kerjasama parti berkenaan dengan Bersatu adalah pendirian individu.

Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, perbezaan itu tidak mencerminkan pendirian keseluruhan UMNO Perlis.

Iklan
Iklan

"Namun sebagai ahli parti perlulah menghormati apa yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran sambutan hari RTM ke-75 di Kompleks Jabatan Penyiaran Malaysia Perlis di sini pada Khamis.

Pada Ahad lalu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Iklan

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim secara terbuka menyatakan pendirian akan terus bekerjasama dengan Pas dan Bersatu, berbeza dengan UMNO Kangar yang menyokong penuh keputusan pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan dilantik menggantikan Shahidan sebagai Pengerusi UMNO Perlis, Azlan berkata:"Saya tidak tahu, ini bukan keputusan saya dan itu adalah pertimbangan pihak yang berkuasa dalam kepimpinan parti.” - Bernama

Iklan