TELUK INTAN - Orang ramai khususnya penduduk di Perak digalakkan meneroka potensi baharu sebagai usahawan pertanian termasuk menanam madre de agua atau lebih dikenali sebagai daun ketum ayam.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, tanaman tersebut mempunyai potensi tersendiri memandangkan ia mendapat permintaan dalam kalangan penternak ayam.
Beliau berkata, penternak ayam menjadikan tanaman berkenaan sebagai alternatif kepada pelet yang kini semakin mahal bagi mengurangkan kos makanan ternakan mereka.
"Saya mahu galakkan orang kampung menanam ketum ayam kerana hari ini masalah mereka yang terlibat dalam ternakan ialah pemakanan. Harga pelet mahal, jadi ketum ini antara alternatif untuk pengusaha ternakan khususnya ternak ayam, arnab, malah ternakan lembu.
"Sebenarnya di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Banyak potensi yang terdapat di dalam pertanian ini yang perlu kita manfaatkan. Peluang dan ruang yang diberikan ini kita kena perlu manfaatkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Fertigasi Cili @ Sungai Manik anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) di Pusat Latihan Pertanian Degong di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Pasak, Misbahul Munir Masduki.
Sementara itu pada sidang media selepas majlis berkenaan, Zainol Fadzi berkata, kerajaan negeri melalui portfolionya sedang meneroka peluang baharu dalam bidang pemasaran untuk mewujudkan usahawan peraih.
Menurutnya, peluang itu dilihat berpotensi untuk melahirkan usahawan dalam bidang pemasaran di negeri ini, sekali gus membantu mengatasi masalah orang tengah membabitkan warga asing.
"Kita sudah ada ramai usahawan. Kalau ada orang mahu memasarkan, menghantar dan sebagainya, lebih bermanfaat kepada mereka yang terlibat dalam pembuatan. Mereka yang menanam tidak perlu memikirkannya lagi.
"Kita ada segmen baharu yang belum diterokai selama ini iaitu orang tengah. Boleh wujud usahawan baharu dalam bidang penghantaran dan pemasaran. Kita ke arah itu mewujudkan rantaian itu," katanya.