KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Umno melihat masih ada harapan untuk disandarkan kepada Menteri Industri dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub oleh rakyat terutama golongan petani dan nelayan.
Respons ini dibuat Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas selepas menyaksikan reaksi Salahuddin yang tidak dapat menahan sebak ketika membaca surat luahan hati seorang petani, Ibas Hamud.
"Kalau tangisan Menteri itu mahu kita isbatkan dengan kesusahan rakyat ~ golongan petani, penternak, peladang dan nelayan mungkin masih punya harapan.
"Kita doakan sahaja menteri mampu bersuara lebih lantang dalam kabinet yang seperti tidak mempedulikan kesusahan rakyat. Menteri mesti berani menyanggah langkah penjimatan yang membebankan rakyat.
"Menteri jangan sekadar menangis lagi tapi menaruh iltizam tinggi untuk memperjuang maslahat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, sepucuk warkah yang dititipkan seorang petani dari Sungai Besar, Ibas Hamud menjentik jiwa Salahuddin sehingga membuatkn menteri itu menangis di atas pentas.
Warkah ringkas yang diserahkan Ibas kepada Salahuddin pada sebuah majlis pelancaran kementerian semalam mengandungi luahan hati petani tersebut yang kecewa apabila elaun sara hidup dan subsidi dipotong.
Mengulas lanjut, Reezal akui secara jujur dapat merasakan linangan air mata Salahuddin itu telus bukan dibuat-buat.
"Walaupun ramai mengandaikan ia tidak lebih seperti sebuah lakonan cereka, namun saya menganggap ianya cetusan hati ikhlas seorang Menteri.
"Hakikatnya, surat Wak Ibas mewakili naluri hati rakyat. Kesusahan hidup para nelayan bukan gurauan. Kerumitan hidup para petani, peladang, penternak bukan mainan.
"Derita sebahagian peneroka Felda dan Felcra bukan lakonan. Menteri mengambil risiko cukup besar jika perkara begini mahu disandiwarakan,” katanya.
Tambahnya,"berbeza jalur politik jangan sampai kita menghina usaha yang baik, ramai lagi mereka yang susah dan menderita kerana kelemahan ikhtiar kerajaan. Suara mereka mesti dibela.”