Lapan bot, 52 nelayan Vietnam ditahan di jeti haram

Iklan
Bot nelayan tempatan yang dikendalikan 52 kru warga Vietnam ditahan di sebuah jeti haram di muara Sungai Endau pada Rabu.

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 52 nelayan Vietnam dan lapan bot nelayan tempatan di sebuah jeti haram di muara Sungai Endau di sini pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua bot nelayan kelas C itu ditahan pada kedudukan 3.2 batu nautika dari muara Sungai Endau kira- kira jam 8.45 malam.

Iklan
Iklan

Katanya, Zon Maritim Mersing juga menerima aduan awam berkaitan bot nelayan tempatan yang mencurigakan bertambat antara satu sama lain di sebuah jeti haram sekitar Sungai Endau.

"Tiga bot yang ditahan dikesan memasuki Sungai Endau dalam keadaan mencurigakan dan Zon Maritim Mersing terus melakukan pemeriksaan di lokasi itu.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot nelayan tempatan kelas C yang bertambat di jeti haram itu dikendalikan oleh kru warga Vietnam," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Nurul Hizam, kesemua kru tersebut disyaki baru tiba dari Vietnam berdasarkan pemeriksaan ke atas data dan rekod daripada sistem GPS History.

Iklan

"Mereka juga mengemukakan dokumen pengenalan diri yang mencurigakan dan lesen bot tamat tempoh.

"Semua kru ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985," katanya.