UMNO bakal hilang banyak kerusi jika bergerak solo

Iklan
Mohd Amar (empat dari kanan) merasmikan Pra Pelancaran Projek Solar Terapung dan Pengisytiharan Zon Industri Akuakultur (ZIA) Tasik Danau Tok Uban, Pasir Mas pada Khamis.

PASIR MAS - Walaupun mempunyai kira-kira tiga juta ahli dan lebih 21,000 cawangan seluruh negara, UMNO akan kehilangan banyak kerusi sekiranya bergerak sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, berpandukan kepada situasi politik semasa ketika ini, tiada satu parti pun yang akan berjaya membentuk kerajaan tanpa menjalinkan kerjasama dengan rakan sekutu lain.

Iklan
Iklan

"Ini pandangan peribadi saya. Sebab itulah Pas mahu membentuk gabungan bersama parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO pada PRU15 nanti.

"Bersatu tidak boleh menang jika tiada gabungan, begitu juga dengan UMNO.

Iklan

"Jadi kita mahu kedua-dua parti itu mencari titik persamaan untuk menyelesaikan perbezaan pendapat termasuklah Pas," kata Timbalan Menteri Besar Kelantan kepada pemberita merasmikan Pra Pelancaran Projek Solar Terapung dan Pengisytiharan Zon Industri Akuakultur (ZIA) Tasik Danau Tok Uban di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas situasi terkini politik semasa tanah air selepas UMNO berkeras memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Iklan

Mohd Amar berkata, walaupun Persidangan Agung UMNO (PAU) 2020 baru-baru ini membuat ketetapan untuk UMNO bergerak secara solo, namun masih ramai akar umbi mahu melihat parti terbesar Melayu itu terus bersama Perikatan Nasional (PN).

Beliau percaya, hanya segelintir sahaja pucuk pimpinan yang menolak kerjasama tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu juga berharap agar akar umbi UMNO dapat mengubah suasana itu demi kepentingan Islam dan bangsa Melayu.

Menurutnya, sekiranya saingan tiga penjuru pada PRU15 berlaku, ia akan mendatangkan keburukan kepada Islam dan Melayu.

"Apa yang kita buat ketika ini adalah untuk Islam dan Melayu. Kita bukan rasis atau perkauman tetapi kerana realiti politik, bangsa Melayu adalah dominan di Malaysia.

"Jadi kita kena jaga keadaan ini sebab orang lain tidak toleransi seperti kita. Walaupun semasa UMNO perintah negara ada banyak kelemahan, namun mereka tetap bertoleransi dengan bangsa-bangsa lain di negara ini," katanya.

Beliau berkata, Pas bimbang toleransi itu akan hilang sekiranya kerajaan lain akan mengambil alih negara selepas ini.