PM adakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak

Iklan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini.
- Foto Bernama

KUCHING - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini pada Khamis.

Muhyiddin tiba pada jam 3.09 petang dengan diiringi oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri kemudian menandatangani buku kehadiran tetamu sebelum dibawa ke ruang kunjungan untuk kunjungan hormat terhadap Abdul Taib.

Abdul Taib dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib menerima kunjungan rombongan Perdana Menteri buat julung kalinya selepas terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu.

Iklan

Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan pertemuan yang berlangsung selama sejam sebelum Muhyiddin beredar ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching bagi menghadiri Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Perdana Menteri, yang merupakan Pengerusi PN, dalam rangka kerja dua hari ke Sarawak, mempunyai program yang padat di mana pada sebelah malam nanti beliau dijangka mengadakan perjumpaan bersama Abang Johari serta barisan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Iklan

Keesokan pagi, Muhyiddin dijadualkan menghadiri Program Prihatin dan Penjana di Medan Niaga Satok, Ziarah Prihatin di Kampung Sindang Baru, Kota Samarahan dan perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan. - Bernama