MARANG - Sebanyak 102 bot nelayan asing yang dilucut hak oleh mahkamah atas kesalahan menceroboh perairan negara sejak 2010 sehingga kini dilupuskan menjadi tukun tiruan.
Terbaru, dua bot nelayan Vietnam ditenggelamkan sebagai tukun tiruan berhampiran perairan Gong Balai, Merchang, di sini, pada Khamis.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot berkenaan dilucut hak sepanjang 2020 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.
Beliau berkata, kesemua bot ini ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Gemia menerusi Op Kuda Laut yang dilakukan sepanjang tahun lalu.
"Ini adalah pelupusan kali ketujuh tahun ini dan dijangka sebanyak 40 bot lagi bakal ditenggelamkan selepas mendapat perlucutan hak daripada mahkamah pada 2021.
"Sehingga kini, sejumlah 102 bot telah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di sepanjang perairan Terengganu," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pelupusan bot nelayan asing sebagai tukun adalah inisiatif bagi memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia dalam mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.
"Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).
"Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu," katanya.
Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim melaporkan sebarang maklumat, perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu.