Warga emas nyaris dirempuh kereta

Iklan
Lokasi restoran 24 jam yang menyebabkan tiga pelanggan cedera selepas dirempuh sebuah kereta Toyota Camry.

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas, Hoo Soh Fah, 68 memaklumkan dia nyaris dirempuh sebuah kereta Toyota Camry, bagaimanapun bersyukur sempat menyelamatkan diri dalam situasi panik malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.20 malam, tiga pelanggan sebuah restoran 24 jam di Jalan Limbat, Skudai, di sini, nyaris maut apabila dirempuh kereta berkenaan ketika sedang menjamu selera.

Iklan
Iklan

Menurut Soh Fah, ketika kejadian, dia dan rakannya sedang leka berbual sebelum secara tiba-tiba kereta yang keluar dari parkir pada jarak 200 meter memecut dan ke arah mereka.

"Kereta dipandu lelaki yang kelihatan dalam lingkungan 50 tahun tiba-tiba memecut dan merempuh meja makan dan kerusi.

Iklan

"Ia merempuh meja di sebelah kami hingga mengakibatkan saya juga nyaris menjadi mangsa.

"Namun, saya dan rakan sempat melarikan diri melihat kereta itu hilang kawalan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kereta yang merempuh meja berkenaan juga melanggar sebuah van yang berada di laluan hadapan restoran sebelum melanggar pagar tepi laluan pejalan kaki.

"Tidak lama kemudian, sekumpulan anggota polis tiba untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa. Semua pelanggan juga panik kerana tiga mangsa tercedera akibat kejadian tersebut.

"Nasib saya sempat mengelak kerana sebagai pelanggan tetap restoran, saya memang gemar duduk di meja di luar restoran sambil menonton televisyen dipasang pada waktu malam.

"Namun tidak disangka kejadian seumpama ini berlaku," katanya yang percaya ia kejadian pertama kali berlaku di restoran itu.

Dalam pada itu, pekerja restoran berkenaan memberitahu, beberapa pekerja syif malam menjadi saksi kejadian.

"Kami difahamkan kereta berkenaan merempuh meja dan kejadian mengakibatkan beberapa pelanggan mengalami kecederaan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila pemandu kereta berusia 50 tahun itu gagal mengawal keretanya lalu merempuh tiga pelanggan, meja dan kerusi yang diletak di parkir restoran berkenaan.

"Kereta itu hanya terhenti apabila melanggar sebuah van yang diparkir di kawasan berhampiran manakala ketiga-tiga mangsa terbaring di atas jalan raya.

"Berikutan itu, salah seorang daripada tiga mangsa luka di kepala, seorang patah bahu kanan manakala baki seorang mangsa dipercayai cedera ringan," katanya

Mohd Taib berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian menghubungi ambulans sebelum ketiga-tiga mangsa lingkungan 20-an hingga 40-an dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Pemandu kereta yang bekerja sebagai buruh tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati pemandu itu negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

"Kami sudah mengambil keterangan pemandu itu dan buat masa ini dia dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta dan mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.