SEOUL - Pendakwa raya Korea Selatan menumpaskan kartel dadah antarabangsa dan mengesan kemudahan pembuatan dadah tersebut dengan kerjasama polis Malaysia, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pegawai pada Khamis.
Pejabat Pendakwa Raya (SPO) berkata, pihaknya bekerjasama dengan pejabat kastam untuk merampas 16.4 kilogram metamfetamin yang dihantar dari Malaysia ke negara ini pada Januari hingga Mac serta berkongsi maklumat jenayah dan modus operandi penyeludupan dadah dengan polis Kuala Lumpur.
Berdasarkan risikan, polis Malaysia menahan 13 anggota sindiket dadah antarabangsa dan turut merampas dadah bernilai 5.42 bilion won (AS$4.78 juta), termasuk 64 kilogram (kg) ketamin dan 12.2kg metamfetamin.
Menurut SPO, seorang daripada anggota kartel yang ditahan didapati telah menyeludup 8.2kg dan 7.6kg metamfetamin yang dirampas pejabat pendakwa daerah Incheon dan Cheongju, pada Januari tahun lalu.
Jumlah rampasan metamfetamin yang dihantar dari negara Asia Tenggara meningkat dengan mendadak dari 3.6kg pada 2020 kepada 16.4kg pada suku pertama tahun ini. Pada 2018 dan 2019, sejumlah 40kg dadah dirampas.
Kes keldai dadah menggunakan pengangkutan udara menurun kerana prosedur imigresen yang diperketat ketika pandemik, tetapi kes penyeludupan melalui penghantaran antarabangsa atau Express Mail Service (EMS), yang disorok dalam pakaian atau makanan menunjukkan peningkatan.
Untuk mengekang jenayah itu, langkah pengawasan terhadap penghantaran dari Malaysia dan berkongsi maklumat pengirim, dengan polis asing.
"Sekiranya penangkapan kartel dadah baru-baru ini tidak berjaya, lagi banyak jenayah mungkin berlaku di Korea," kata SPO.
Justeru, menurut SPO adalah penting untuk mencegah jenayah narkotik rentas sempadan kerana kebanyakannya masuk dari luar negara.
SPO juga sedang menjalankan siasatan bersama dengan Thailand dan merancang memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa penyiasatan Laos untuk menyekat penyeludupan dadah ke Korea. - Bernama