Pelan Transformasi RTM beri nilai tambah kepada organisasi

Iklan
Saifuddin Abdullah (dua, kanan) bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (dua, kiri) menyaksikan pelancaran belon serentak di seluruh cawangan RTM pada sambutan ulang tahun RTM ke-75 dan Okestra RTM ke-60 di Angkasapuri hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pelan Transformasi RTM yang sedang dilaksanakan mampu memberi nilai tambah kepada organisasi dan industri kreatif tempatan, selain menambah baik perkhidmatan bagi mengoptimumkan semua platform yang digunakan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, seiring dengan perkembangan teknologi 5G, RTM akan terus membuka lebih banyak lembaran baharu dan berkembang seiring dengan trend dan permintaan pengguna.

Iklan
Iklan

"Penggunaan data raya, Internet of Things (IoT), teknologi awan dan seumpamanya mempunyai peranan yang besar dalam mendepani transformasi digital RTM.

"Semestinya gabungan penghasilan kandungan program yang berkualiti dan penggunaan teknologi terkini tersebut akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua," katanya pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun RTM ke-75 dan Orkestra RTM ke-60 di Auditorium Perdana, Wisma Radio, Angkasapuri, di sini pada Khamis.

Iklan

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya.

"RTM akan terus merencana pendekatan yang bijaksana dan berhemah dalam meningkatkan kefahaman rakyat terhadap pelaksanaan sesebuah dasar dan inisiatif kerajaan sehingga ia boleh difahami dan dijiwai oleh segenap lapisan masyarakat," katanya.

Iklan

Saifuddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada RTM, institusi yang menyumbang kepada usaha pembinaan jati diri sebuah negara yang berbilang bangsa, latar budaya dan agama.

Beliau mengingatkan agar Matlamat Komunikasi Ummah bagi penyatuan ummah perlu menjurus kepada keharmonian, kestabilan, jelas dan tidak mengelirukan atau menggusarkan.

Saifuddin juga mengalu-alukan komitmen RTM dalam menjadikan komunikasi orang kurang upaya (OKU) sebagai teras baharu dalam Pelan Transformasi RTM termasuk meningkatkan jumlah jurubahasa isyarat untuk program-program utama saluran televisyen RTM.

"Terima kasih kepada RTM dan tidak lupa kepada Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) yang sentiasa membantu golongan ini dengan menyediakan jurubahasa isyarat, khususnya semasa menyampaikan berita semasa," katanya.

Beliau berkata, medium media sosial dan digital bakal diangkat sebagai platform ketiga seiring dengan saluran televisyen dan radio dalam proses transformasi RTM, sejajar dengan perubahan dan keperluan semasa.

"Bersempena sambutan ke-75 RTM ini, kesemua 34 stesen radio RTM, baik stesen yang bersiaran di seluruh negara seperti NASIONALfm, TRAXXfm dan MINNALfm, mahupun stesen-stesen radio negeri dan tempatan, akan diberi suntikan nafas baharu supaya lebih segar berkumandang, lebih menarik didengar dan imej baharu melalui logo stesen yang terkini.

"Bagi televisyen pula, pelan transformasi saluran TV dimulakan bagi menyiarkan siaran TV RTM mengikut sifat saluran dan ‘niche’ program masing-masing," katanya.

Beliau berkata, saluran TV1 akan menumpukan kepada rancangan bersifat agenda nasional, kenegaraan, kerohanian dan nilai murni, saluran TV2 pula akan menayangkan rancangan berupa filem, drama, hiburan dan rancangan realiti.

Selain itu, beliau berkata, Saluran Okey bakal menghidangkan program bagi memperkayakan minda, dokumentari, seni budaya, remaja dan travelogue.

Pada majlis sama, Saifuddin turut melancarkan saluran Sukan RTM, dan berkata, tujuan pemilihan saluran niche itu bertepatan dengan kehendak semasa penonton.

"Tidak ada satu aktiviti di dunia yang mana seluruh rakyat termasuk rakyat Malaysia pada satu masa bersama-sama terpaku di depan televisyen melainkan acara sukan.

"Saluran ini diharap dapat memberi suntikan baharu dan (menarik) lebih ramai penonton untuk RTM," katanya.

Sementara itu, bersempena ulang tahun Orkestra RTM yang ke-60, beliau berkata, pihaknya merancang memartabatkan Orkestra RTM ke luar negara dan pelbagai acara sedang diteliti serta akan diumumkan kelak. - Bernama