PM puas hati program vaksinasi Covid-19 di Sarawak: Uggah

Iklan
Muhyiddin (tengah) dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman bergambar dengan orang ramai yang menerima suntikan vaksin ketika melawat Pusat Vaksinasi Covid-19 di Stadium Perpaduan hari ini. - Foto Bernama

KUCHING - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menguruskan Program Vaksinasi Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

"Perdana Menteri sangat gembira melihat kemudahan vaksinasi kami dan bilangan vaksin yang dilakukan serta kelancaran program vaksinasi kami,” kata Uggah yang juga Pengerusi JPBN.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, semasa perbincangan jawatankuasa itu dengan Muhyiddin, yang dalam rangka kerja dua hari ke Sarawak, JPBN telah menunjukkan kepada perdana menteri kesediaannya untuk menjalankan program vaksinasi di seluruh negeri.

Menurut beliau, lebih 1.2 juta rakyat Sarawak atau 66.7 peratus daripada keseluruhan 2.8 juta penduduk negeri itu sudah mendaftar untuk suntikan vaksin tersebut.

Iklan

"Kami merayu kepada beliau (Perdana Menteri) supaya Kuala Lumpur mempercepatkan bekalan vaksin ke Sarawak kerana rakyat Sarawak bersedia untuk menerima vaksin,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Muhyiddin melawat pusat vaksinasi itu di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini pada Khamis.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hing.

Iklan

"Kami juga telah menyampaikan kepada beliau (Muhyiddin) bahawa kami memerlukan bekalan vaksin dan berharap Kuala Lumpur (kerajaan Persekutuan) akan mempertimbang untuk mempercepatkan proses vaksinasi di zon merah Sarawak. Beliau bersetuju tetapi ia bergantung kepada bekalan vaksin dari luar negara,” kata Uggah.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak juga menjalankan inisiatif sendiri untuk membeli vaksin itu bagi mencukupkan bekalan dari Putrajaya dengan Dr Sim dan pasukannya kini meneruskan inisiatif itu dan telah berhubung dengan kontak mereka.

Beliau juga berkata, kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf peranan yang dimainkan media sebagai petugas barisan hadapan dan kini berusaha untuk membolehkan petugas media diberi suntikan vaksin Covid-19 sama seperti petugas barisan hadapan yang lain.- Bernama