PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) kekal dengan sasaran asal untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris, namun tidak menolak kemungkinan kemampuan pemain negara membawa pulang pingat pada edisi Tokyo 2020 Julai ini.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya juga akan terus memberikan sokongan kepada barisan pemain muda negara yang sedang meningkat seperti juara Seluruh England, Lee Zii Jia untuk menyinar di Tokyo nanti.
Beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan bahawa prestasi barisan pemain muda negara sudah pasti akan mengalami situasi turun dan naik sebelum mencapai konsistensi di pentas kompetitif.
"Kita bagi sokongan yang tidak berbelah bahagi dan sekiranya kita beri kepercayaan kepada mereka, saya percaya ia akan berhasil. Tetapi untuk beri penekanan yang tidak sepatutnya kepada mereka adalah pramatang.
"Pemain seperti Zii Jia, Pearly Tan dan M. Thinaah juga mempunyai impian sendiri dan tahu apa yang rakyat harapkan daripada mereka. Saya rasa kita kekal dengan pasukan muda ini untuk kejayaan di Paris 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Wall of Champions dan menyampaikan insentif kepada pemenang kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Khamis.
Zii Jia yang muncul juara perseorangan lelaki Seluruh England, menerima imbuhan sebanyak RM30,000, manakala pasangan beregu wanita Pearly-Thinaah yang menjuarai Terbuka Switzerland menerima bonus RM15,000.
Dalam perkembangan lain, Norza berkata, walaupun BAM bakal menghantar skuad muda ke Sukan SEA Hanoi, November ini, mereka masih diharapkan untuk mengekalkan penanda aras yang ditetapkan oleh pemain muda pada edisi lalu.
"Saya juga berharap dengan memaparkan kejayaan pemain seperti Zii Jia dan Pearly-Thinaah di Wall of Champions di lobi ABM, ia dapat meningkatkan semangat pemain muda untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan,” ujarnya.
Pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Zii Jia, S. Kisona (perseorangan wanita) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) membawa pulang pingat emas, sekali gus membantu skuad negara muncul juara keseluruhan acara badminton dengan pencapaian tiga emas, dua perak dan lima gangsa.