PEMINAT dan penyokong bola sepak tanah air sekali lagi diingatkan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan apabila ‘pintu stadium’ kembali dibuka mulai Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, sebarang kecuaian dalam mematuhi SOP tidak hanya memberi kesan kepada para penonton, malah juga MFL sebagai pentadbir Liga-M.
"Janganlah disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Tindakan segelintir penonton mampu merosakkan peluang penonton lain untuk masuk ke stadium bagi menyaksikan kelab kesayangan mereka beraksi.
"Nasihat saya kepada penonton dalam kembali bergembira dan memeriahkan semula Liga-M, mereka perlu mengekalkan tahap disiplin pada tahap tinggi dalam pematuhan SOP.
"Sebarang pelanggaran SOP akan menyebabkan venue tersebut tidak akan dibenarkan lagi untuk perlawanan seterusnya. Kebenaran daripada kerajaan ini perlu diambil serius semua pihak,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Ab Ghani turut mengingatkan setiap pengurusan kelab Liga-M tidak bersikap sambil lewa terhadap kebenaran kemasukan penonton ke stadium, sebaliknya mengambil serius memastikan setiap SOP ditetapkan dipatuhi.
"Sekiranya terdapat penonton yang datang ke stadium dikesan melanggar SOP yang ditetapkan pihak MFL, pasukan tuan rumah akan berdepan tindakan tegas dan hukuman. Kena ingat SOP tidak hanya di dalam stadium tetapi juga di luar stadium.
"Seperkara lagi, apabila penonton sudah dibenarkan masuk ke stadium, sudah tentu Liga-M akan mendapat coverage daripada pihak luar. Jadi apabila penonton tidak mematuhi SOP ditetapkan, ia pasti menjejaskan imej liga bola sepak tempatan,” ujarnya.