PUTRAJAYA - Tiada bakteria Salmonella Enteritidis (SE) dikesan di ladang ayam penelur CEM 014 Linggi Agriculture Farm, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Menurut JPV, keputusan itu diperoleh selepas ujian dijalankan ke atas sampel calitan kloaka, calitan najis, sampel telur, makanan dan air minuman yang diambil dari ladang ayam penelur tersebut.
"Program pemantauan Salmonella ke atas 276 ladang ayam penelur seluruh negara dipertingkatkan bagi memastikan bekalan dan keselamatan telur yang dipasarkan," kata JPV dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
JPV juga menasihati pengguna supaya memastikan telur yang dibeli adalah bersih, tiada pencemaran najis, tidak retak, disimpan di tempat yang sesuai dan dimasak dengan sempurna sebelum dimakan.
Katanya, pencemaran SE boleh berlaku di peringkat ladang disebabkan amalan penternakan kurang baik, aspek biosekuriti dan kebersihan ladang atau di sepanjang rantaian pemasaran disebabkan pengendalian telur kurang bersih.
ARTIKEL BERKAITAN: Singapura tarik balik telur punca penyakit dari Malaysia
Singapura tarik balik telur dari sebuah lagi ladang di Malaysia
Dilaporkan baru-baru ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Linggi Agriculture di Malaysia (CEM 014) selepas mengesan adanya SE dalam produk terbabit. - Bernama