[DIKEMAS KINI] LOTUSS Store (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) yang dahulunya dikenali sebagai Tesco Stores melancarkan cawangan perdana pertamanya di Kepong di sini pada Rabu.
Terletak di pusat beli-belah yang sebelum ini dikenali sebagai Kepong Village Mall di Bandar Menjalara, Lotus’s Kepong kini mengenakan warna hijau dan kuning yang menandakan arah dinamik dan semangat tinggi.
Pasar raya terkemuka itu dijenamakan semula susulan pengambilalihan Tesco Malaysia oleh konglomerat multinasional Kumpulan Charoen Pokphand (Kumpulan CP) yang berpangkalan di Thailand pada Disember tahun lalu.
Melalui pengambilalihan tersebut, Lotus’s Malaysia kini mengendalikan operasi Tesco sedia ada yang merangkumi penggajian lebih 8,600 pekerja di satu ibu pejabat, dua pusat pengedaran dan 62 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurut Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah, selari dengan penjenamaan semula rangkaian pasaran terkemuka itu, pelbagai tawaran baharu ditawarkan kepada pelanggan.
"Sebutan yang betul bagi nama syarikat ialah ‘Lotus’s’ dan bukan ‘Lotuses’ seperti mana yang kami ingin dikenali adalah mengenai pemberian pilihan SMART kepada pelanggan yang akan menceriakan mereka.
"Tanda koma terbalik yang anda lihat dalam nama kami adalah ’drop pin’ yang menandakan Lotus’s sebagai destinasi terpilih untuk memenuhi kesemua keperluan dan kehendak anda, manakala ‘s’ pula mewakili nilai-nilai SMART kami yang menjadi panduan pada tingkah laku kami untuk menggembirakan pelanggan di Malaysia dan seterusnya memperoleh kepercayaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan cawangan perdana Lotus’s Kepong di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pelanggan, Vivian Yap; Ketua Pegawai Operasi, Sushmita Paul; Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Korporat, Azliza Azmel dan Pengarah Eksekutif Kewangan dan Perakaunan Negara, Yvonne Yong.
Mengulas lanjut, mengenai nilai SMART, Kenneth berkata, S mewakili simple (mudah); M motivated (bermotivasi); A agile (tangkas); R responsible (bertanggungjawab) dan T transformative (transformasi).
Selain itu katanya, selari dengan penjenamaan syarikat, rantaian bekalan barangan juga dinaik taraf kepada yang lebih pintar dan turut melakukan inovasi produk.
Jelasnya, kualiti untuk Lotus’s Malaysia bukan sekadar proses tetapi juga adalah kepercayaan.
"Pelanggan kini mencari faedah yang berbeza dalam makanan mereka dan dengan rantaian bekalan pintar Lotus’s, ia dapat memastikan pelanggan membawa pulang barangan yang segar dan berkualiti kepada isi rumah mereka.
"Penjenamaan semula jenama Tesco Own Brand seperti nugget Tempura, ayam goreng, susu UHT, makanan kucing, tuala dapur dan banyak lagi kepada Lotus’s Own Brand menggariskan komitmennya untuk memberikan kualiti dan nilai kepada pelanggan,” katanya.
Tambahnya, melalui cara ini, pembekal tempatan termasuk pembekal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah bekerjasama dengan Tesco selama 18 tahun terakhir akan terus bekerjasama dengan Lotus’s untuk mengembangkan produk berkualiti dan berpatutan yang menceriakan pelanggan.
Sementara itu, ditanya mengenai proses penukaran jenama pada produk Tesco kepada Lotus’s, Kenneth berkata, perkara itu dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Dalam pada itu, sejajar dengan usaha kelestarian Kumpulan CP yang progresif menyokong Peta Jalan Kerajaan Malaysia 2018-2030 ke arah plastik sifar sekali guna, Lotus’s juga akan menghentikan pemberian beg plastik sekali guna di kaunter bayaran.
Jelas Kenneth, pihaknya dalam masa sama juga akan terus mengkaji bahan yang digunakan dalam pembungkusan barangan jenama sendiri serta mengeluarkan dan mengurangkan plastik berbahaya yang boleh merosakkan alam sekitar.
"Lotus’s juga akan meneruskan usahanya untuk mengurangkan pembaziran makanan dan menyumbangkan makanan yang tidak terjual tetapi boleh dimakan kepada badan amal dan mereka yang memerlukan,” katanya.