URUS niaga ringgit melantun semula ke paras 4.13 berbanding dolar AS ketika dibuka pagi ini, dirangsang oleh pengukuhan harga minyak mentah di tengah-tengah hasil bon AS dan dolar AS yang mereda.
Data pembuatan tempatan yang semakin baik dengan menyaksikan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) IHS Markit Malaysia mengembang kepada 49.9 pada Mac daripada 47.7 bulan sebelumnya tahun ini, turut menyokong pengukuhan mata wang tempatan.
Pada jam 9 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.1385/1435, lebih tinggi berbanding dolar AS daripada 4.1440/1470 pada penutupan urus niaga petang Khamis.
Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, penurunan hasil AS dan pemulihan yang menyaksikan pengukuhan semula harga semalaman minyak mentah seharusnya dapat membantu pergerakan nilai matawang tempatan minggu ini.
Sementara itu, Ambank Research dalam nota penyelidikannya berkata, data PMI pembuatan untuk bulan Mac menandakan pemulihan ketara keadaan operasi di keseluruhan sektor pembuatan dan ini akan terus dapat merancakkan urus niaga ringgit.
Menurut IHS Markit, bacaan PMI bulan Mac iaitu 49.9 adalah yang tertinggi sejak Julai 2020.
"Mengenai tinjauan ringgit untuk hari ini, kami menjangkakan bahawa unit tempatan itu akan diniagakan pada paras sokongan antara 4.1208 dan 4.1311 manakala halangan atau rintangan antara 4.1591 dan 4.1701,” katanya.
Ketika ini, minyak mentah penanda aras Brent meningkat 3.38 peratus kepada AS$64.86 setong.
Pada pembukaan urus niaga pagi ini, ringgit bagaimanapun disebut harga rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Unit tempatan itu menyusut berbanding pound Britain kepada 5.7277/7350 daripada 5.7063/7112, turun berbanding euro kepada 4.8706/8781 daripada 4.8646/8690 dan jatuh berbanding yen kepada 3.7405/7454 daripada 3.7387/7418.
Ringgit turut lega berbanding dolar Singapura kepada 3.0776/0816 daripada 3.0774/0803. - Bernama