PASIR PUTEH - Orang ramai yang berkunjung ke Pantai Tok Bali, di sini dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti mandi-manda ekoran penemuan obor-obor yang terdampar di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, walaupun obor-obor itu daripada spesies yang tidak merbahaya namun ia tetap mampu mengancam keselamatan dan kesihatan para pengunjung sekiranya mereka terkena sengatan hidupan laut itu.
"Hasil rondaan anggota Pasukan Penyelamat Pantai APM di sekitar pantai menemui sekitar 15 ekor obor-obor jenis moon jellyfish spesies aurelia aurita," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurutnya, sebagai tanda amaran, APM melalui Pasukan Penyelamat Pantai telah menaikkan bendera merah supaya pengunjung menjauhi aktiviti mandi-manda di kawasan itu.
Katanya, setakat ini hanya aktiviti di kawasan gigi air dibenarkan.
Beliau berkata, pengunjung tetap diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak menyentuh serta menjauhi hidupan itu sekiranya ternampak ketika berjalan di kawasan tersebut.
Nik Mohd Nor berkata, jika ada dalam kalangan pengunjung yang terkena sengatan obor-obor mereka perlu terus menghubungi atau merujuk Pasukan Penyelamat Pantai yang bertugas di kawasan tersebut.
"Pasukan tersebut akan memberikan rawatan awal sebelum membawa mereka yang terkena sengatan ke hospital.
"Walaupun hidupan itu ditemui dalam jumlah yang kecil ketika ini, namun kita percaya ia masih banyak lagi di dalam laut.
"Jadi nasihat saya supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling agar tidak terkena sengatan itu," katanya.
Menurutnya, jika terkena orang ramai boleh menggosokkan bahagian yang disengat dengan pasir pantai sebelum membersihnya dengan air mengalir.
Bagaimanapun katanya, mereka yang mempunyai alergi akan berdepan bahaya jika terkena sengatan obor-obor.