MELAKA - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka menerima peruntukan berjumlah RM903,000 bagi program baik pulih rumah nelayan membabitkan 57 buah rumah di negeri ini.
Pengarahnya, Rosli Mustapa berkata, daripada jumlah itu 47 rumah membabitkan nelayan di daerah Jasin manakala 10 buah rumah di kawasan daerah Melaka Tengah.
Menurutnya, setiap rumah yang layak akan menerima bantuan sekitar RM13,000, bergantung kepada tahap kerosakan dialami dan jumlah itu bagi tempoh tahun lalu hingga Februari tahun ini.
"Kita telah turun padang bagi menyiasat kerosakan dialami pemohon dan ada di antara permohonan mereka diluluskan untuk baik pulih kerana rumah telah uzur, dimakan anai-anai serta bumbung yang bocor.
"Pada masa sama kita juga menerima peruntukan bagi membina tiga rumah baharu nelayan menerusi peruntukan RM56,000 setiap unit rumah," katanya ketika program gotong-royong LKIM di Jeti Nelayan di Serkam di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Kusuadi Salleh dan program tersebut turut membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan dijayakan bersama Nelayan Jeti Serkam.
Dalam perkembangan lain, Rosli berkata, seramai 60 senarai telah diluluskan untuk ditempatkan di projek perumahan nelayan di Kuala Linggi.
Menurutnya, setakat ini pemecahan lot di atas tanah milik kerajaan negeri itu sedang dilaksanakan oleh Unit Pembangunan Negeri (UPEN) bagi memudahkan urusan dokumentasi di antara pemilik rumah dan Agro Bank.