KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 20 Disember 2021 sebagai tarikh baharu perbicaraan dua kes saman fitnah difailkan penceramah bebas Dr Zakir Naik terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy.
Dua saman yang difailkan secara berasingan pada Oktober dan Disember 2019, atas dakwaan Ramasamy mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan pendakwah bebas itu, selain mengaitkannya dengan isu kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), akan dibicarakan secara bersama kerana ia melibatkan defendan yang sama.
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir selaku plaintif berkata, Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril menetapkan 20 hingga 22 Disember ini dan 14 hingga 17 Mac 2022 untuk perbicaraan kes itu.
"Tarikh perbicaraan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini pada 22 hingga 26 Mac lepas dilapangkan berikutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ketika itu," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mohd Firuz pada Jumaat.
Akberdin berkata, pihaknya akan memanggil seramai lima saksi termasuk Dr Zakir untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes saman itu manakala defendan mengemukakan enam saksi.
Peguam itu juga berkata, mahkamah menetapkan 22 November ini untuk pengurusan kes selanjutnya bagi pihak-pihak terlibat memaklumkan perkembangan mengenai dokumen yang telah disediakan untuk perbicaraan.
Pada 16 Oktober 2019, Dr Zakir menyaman Ramasamy selaku defendan dengan mendakwa pada 10 April 2016, Ramasamy memfitnahnya apabila memanggil beliau (Dr Zakir) dengan gelaran yang tidak sopan di laman Facebook milik defendan dan defendan juga sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, pada 1 Oktober 2017, yang artikel mengenainya dimuat naik di laman portal Free Malaysia Today (FMT), pada hari sama.
Dakwanya, pada 11 Ogos 2019, defendan memanipulasikan jawapannya ketika berucap dalam ceramah dianjurkan kerajaan negeri Kelantan dan ia juga disiarkan di laman portal FMT pada hari sama, serta mendakwa defendan pada 20 Ogos tahun sama, turut mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, yang disiarkan media antarabangsa, India Today.
Pada Disember 2019, Dr Zakir sekali lagi menyaman Ramasamy selepas mendakwa defendan memfitnahnya, melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight berhubung isu LTTE. - Bernama