Operasi cari mangsa lemas diteruskan

Iklan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang menyambung semula operasi mencari seorang lelaki dipercayai lemas di Pantai Sungai Ular di sini selepas mengaktifkan tindakan itu bermula 5.15 petang Khamis.

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang menyambung semula operasi mencari seorang lelaki dipercayai lemas di Pantai Sungai Ular di sini selepas mengaktifkan tindakan itu bermula 5.15 petang Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, Maritim Malaysia menugaskan aset bot Kilat 49 dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, Mohd Shahrudin Remeli, 26, yang dikatakan lemas semasa berenang selepas melabuhkan bot kira-kira 50 meter dari pantai.

Iklan
Iklan

"Pencarian mangsa tertumpu di pesisir pantai melibatkan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibantu nelayan tempatan.

"Cuaca petang semalam (Khamis) yang agak buruk dengan ribut dan hujan lebat berkemungkinan faktor mangsa ditarik ombak dan tenggelam dibawa arus kuat," katanya.

Iklan

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pagi Jumaat melibatkan 16 anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng.

Menurutnya, operasi dibantu enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari Kuantan dan Temerloh.

Iklan

"Operasi hari ini melibatkan kawasan seluas 1.5 kilometer di pesisir pantai dengan pencarian di permukaan dan selaman di lokasi dikenalpasti," katanya.

Sehingga jam 12.30 tengah hari operasi masih diteruskan dan mangsa belum ditemui.