Daftar anak autisme, OKU mudahkan bantuan intervensi awal

Iklan
Rina (kiri) berbual bersama penganjur program, Zuraini Anuar (kanan) pada majlis pelancaran Seni Kreatif Bernama sempena Hari Autism Sedunia 2021 di Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ibu bapa dan penjaga anak autisme serta orang kurang upaya (OKU) diseru mendaftarkan anak mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar bantuan intervensi awal untuk membantu perkembangan anak-anak tersebut dapat disalurkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program tersebut menyediakan bantuan serta sokongan yang meliputi pelbagai aspek kehidupan anak istimewa itu termasuklah dalam bidang pekerjaan.

Iklan
Iklan

Jelasnya, program itu juga memberi bantuan kepada ibu bapa dan penjaga seperti latihan serta pendedahan untuk menguruskan kehidupan anak-anak autisme.

"Intervensi awal amat penting untuk membantu perkembangan anak-anak ini dari aspek pertuturan, perlakuan dan sebagainya.

Iklan

"Kerajaan menerusi kementerian ini (KPWKM) dan agensi di bawahnya banyak inisiatif dan bimbingan untuk ibu bapa dan penjaga seperti PDK (Program Pemulihan Dalam Komuniti)...jadi mereka dengan anak autisme mahupun OKU lain, berdaftarlah dengan JKM,” katanya selepas melancarkan pameran Seni Kreatif Bernama sempena sambutan Hari Autisme Sedunia 2021 di Wisma Bernama, di sini pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Maziah Che Yusoff; Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Negara, Datuk Tom Abang Saufi; Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Ketua Pengarang Bernama, Abdul Rahman Ahmad.

Iklan

Setakat ini, sebanyak 595,000 individu OKU berdaftar dengan JKM dengan 28,941 daripadanya adalah individu autisme.

Rina juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga khususnya pasangan muda untuk tidak berasa malu atau rendah diri jika mempunyai anak istimewa, sebaliknya meraikan serta mengetengahkan bakat anak-anak istimewa itu.

Mengenai pameran itu, Rina menyifatkan ia sebagai medium advokasi berkaitan OKU kepada masyarakat ke arah usaha pendayaupayaan dan pemerkasaan golongan itu di Malaysia.

"Pameran seni pada hari ini dapat mempromosi bakat dan kreativiti OKU Autisme kepada masyarakat selain meningkatkan kesedaran serta pemahaman masyarakat terhadap golongan ini,” katanya.

Pameran seni yang berlangsung selama 10 hari bermula Jumaat di lobi Wisma Bernama mengetengahkan lebih 10 karya seni dan lukisan oleh tujuh seniman autisme. - Bernama