Harimau kumbang masuk perangkap

Iklan
Kakitangan Perhilitan mengangkat harimau kumbang yang masuk ke dalam perangkap

REMBAU - Umpan seekor kambing akhirnya berjaya menarik seekor harimau kumbang masuk perangkap di Kampung Chembong Kecil, di sini, pagi Khamis.

Haiwan liar itu ditangkap pada jam 8.30 pagi selepas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan memasang perangkap itu pada Selasa lepas.

Iklan
Iklan

Penduduk, Basri Ibrahim, 39, berkata, dia menggunakan kambing ternakannya sebagai umpan bagi membantu Perhilitan menangkap harimau terbabit selepas kali kedua melihatnya pada 29 Mac lalu.

"Kali pertama saya nampak harimau itu pada 22 Mac, jam 9 malam iaitu kira-kira 30 kaki dari kawasan rumah dan kandang kambing.

Iklan

"Saya membuat aduan kepada Perhilitan yang kemudian datang melakukan pemantauan serta memasang kamera di lokasi sebelum mereka mengambil tindakan memasang perangkap," katanya.

Menurutnya, sejak itu dia mengambil langkah berhati-hati dan menasihatkan anaknya supaya tidak keluar malam kerana bimbang terserempak dengan harimau terbabit.

Iklan
Basri menunjukkan lokasi harimau kumbang itu masuk ke dalam perangkap.

Bagaimanapun dia bersyukur apabila haiwan itu akhirnya masuk perangkap.

"Saya pernah mendengar penduduk memaklumkan ada harimau kumbang di sini tetapi sepanjang 18 tahun menetap di sini, hanya baru-baru ini saya terserempak dengan haiwan itu," katanya.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, buat masa ini jantina, berat dan usia harimau kumbang berkenaan masih belum dapat dipastikan.

Menurutnya, maklumat berkenaan akan diketahui selepas haiwan itu dirawat Jabatan Veterinar.

Selain itu katanya, tangkapan haiwan berkenaan merupakan kali ketiga dilakukan oleh Perhilitan dalam tempoh kurang sebulan.

"Tangkapan pertama pada 3 Mac lalu di Kampung Ulu Nuri, Johol, di Kuala Pilah kemudian diikuti Kampung Solok Baing, Kendong, 24 Mac lalu juga di Rembau," katanya.