Indeks nilai seunit eksport, import pada Februari kekal positif

Iklan
Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR - Kedua-dua indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Februari 2021, masing-masing pada 1.2 peratus dan 0.8 peratus bulan ke bulan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport kekal positif bagi enam bulan berturut-turut manakala indeks nilai seunit import menunjukkan trend yang sama mulai Disember 2020.

Iklan
Iklan

Ini terkandung dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100), Februari 2021 yang memaparkan statistik indeks nilai seunit dan indeks volum mengikut seksyen bagi eksport dan import barangan.

"Indeks nilai seunit eksport menunjukkan pertumbuhan positif 1.2 peratus pada Februari 2021, didorong oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (4.8 peratus), minyak galian (3.6 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.4 peratus),” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, indeks volum eksport jatuh 3.5 peratus berbanding bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh prestasi lemah indeks minuman dan tembakau (-20.2 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-13.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-3.8 peratus).

Mohd Uzir berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan pertumbuhan 14.0 peratus daripada 142.8 mata kepada 162.7 mata.

Iklan

"Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh 0.6 peratus manakala indeks volum eksport mencatatkan kenaikan dua digit 18.3 peratus," ujar beliau.

Menyentuh mengenai indeks nilai seunit import yang meningkat 0.8 peratus pada Februari 2021, beliau menjelaskan pertumbuhan ini disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi indeks minyak galian (6.3 peratus), barang-barang keluaran kilang (0.6 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.3 peratus).

"Sementara itu, indeks volum import menguncup 5.3 peratus yang disumbangkan oleh prestasi lemah indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-7.6 peratus), barang-barang keluaran kilang (-7.3 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (-6.3 peratus).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Februari 2021 naik 9.8 peratus daripada 143.1 mata kepada 157.2 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, Mohd Uzir berkata, indeks nilai seunit import menyusut 1.9 peratus manakala indeks volum import meningkat 14.9 peratus.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia berkembang 0.4 peratus bulan ke bulan daripada 101.1 mata kepada 101.5 mata pada Februari 2021.

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut kekal positif 1.4 peratus daripada 100.2 mata pada Februari tahun lalu. - Bernama