KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab mengadakan program 55 kali khatam al-Quran sebagai simbolik sambutan Hari Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang ke-55.
Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, program tersebut merupakan hari bersejarah bagi Mara kerana ia disambut dengan Majlis Khatam Al-Quran Perdana.
Katanya, program itu yang disertai 1,650 pelajar dari lima MRSM Ulul Albab yang dijalankan secara dalam talian bertujuan menghayati perjuangan Mara dalam melahirkan modal insan profesional teknorat.
"Apa yang istimewanya program ini adalah gabungan alunan ayat suci al-Quran oleh pelajar dari lima MRSM Ulul Albab, dengan setiap MRSM akan khatam 30 juzuk sebanyak 11 kali dan menjadikan jumlah khatam sebanyak 55 kali.
"Langkah yang diambil Mara adalah amat bertepatan kerana pelajar bukan sahaja diajar ilmu berkaitan hal duniawi tetapi turut dididik untuk mengetahui ilmu akhirat," katanya dalam ucapan Majlis Khatam Al-Quran Perdana sempena Hari Mara ke-55 di sini pada Jumaat.
Lima MRSM Ulul Albab yang terlibat dalam Majlis Khatam Al-Quran Perdana itu ialah MRSM Kota Putra, Terengganu; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan; MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang; MRSM Sungai Besar, Selangor dan MRSM Semporna, Sabah.
Dalam program itu, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mewakafkan 650 naskhah al-Quran kepada semua MRSM Ulul Albab di seluruh Malaysia.
Sehingga Februari 2021, Mara telah berjaya menghasilkan seramai 2,470 huffaz yang mempunyai nilai tambah cemerlang ampuh quranik, ensiklopedik dan teguh ijtihad.
Azizah juga berkata, dua MRSM Ulul Albab akan ditubuhkan di Bagan Datuk, Perak dan Bera, Pahang tidak lama lagi. - Bernama