PASIR SALAK - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan penduduk setempat menyertai latihan keselamatan bagi membantu tugas anggota penyelamat, khususnya bomba ketika berdepan kes kecemasan di kawasan masing-masing.
Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata, saranan itu selari dengan agenda kementerian untuk melibatkan sama komuniti di satu-satu kawasan dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan setempat.
"Sebenarnya dalam pemerkasaan komuniti, kita ada banyak program yang melibatkan dengan masyarakat, tetapi kita perlu strukturkan semula supaya ia lebih sistematik.
"Satu daripadanya kita sasarkan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) yang kini ada 8,000 di seluruh negara, nelayan dan penduduk di perkampungan yang kita percaya mampu menjaga keselamatan orang awam," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kampong Gajah di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid; Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Zainal Abidin berkata, kementerian juga telah bekerjasama dengan JBPM dengan memberikan latihan menyelamat di air kepada komuniti setempat sebagai usaha mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan awam terutama yang mempunyai kemudahan tasik atau lombong.
Katanya, pembentukan Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) yang disertai pakar-pakar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini telah banyak menggerakkan program-program kesedaran dalam kalangan masyarakat.
"Jadi selain program kesedaran itu, kita juga mahu bekerjasama dengan penduduk setempat yang terlatih dalam aspek keselamatan untuk melakukan kawalan dan rondaan di kawasan-kawasan yang jadi tumpuan awam atau dikenal pasti sebagai hot spot.
"Kawasan hot spot ini banyak dan kita akan beri tumpuan di lokasi bergantung kepada statistik yang disediakan polis," katanya.
Balai Bomba dan Penyelamat Kampong Gajah merupakan balai ke-33 beroperasi di negeri ini yang dibina di atas tanah berkeluasan 3.29 hektar dengan kos RM2.91 juta.
Balai berkenaan merupakan balai kategori D dan siap dibina sepenuhnya pada 7 Oktober tahun lalu merangkumi pembinaan bangunan balai bomba, ruang jentera, surau, stor logistik dan rumah pam.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, dua lagi balai bomba sedang dibina di Perak iaitu di Tambun dan Trong yang pembinaannya dijangka siap pada Oktober ini dan tahun hadapan.
Katanya, pembinaan balai baharu itu akan menyediakan perkhidmatan segera kepada penduduk setempat yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada perkhidmatan Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang terletak kira-kira 40 kilometer dari kawasan berkenaan.
"Kewujudan balai ini menepati indeks prestasi utama (KPI) dan piawaian ditetapkan iaitu masa respons di bawah 10 minit selepas panggilan kecemasan," katanya.