Caj 20 sen beg plastik masuk tabung khas

Iklan
Gambar hiasan
SHAH ALAM - Caj 20 sen yang dikenakan premis perniagaan bagi setiap beg plastik di negeri ini akan dikutip Kerajaan Selangor dan disalurkan ke satu tabung khas untuk manfaatkan masyarakat.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian, berkata, cadangan bagi perlaksanaan kutipan itu dijangka bermula pada tahun depan melibatkan pasar raya-pasar raya utama.

Menurutnya, mekanisme kutipan berkenaan akan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan.

"Kutipan terkumpul oleh kerajaan negeri akan disalurkan ke akaun tabung amanah bagi kegunaan kempen-kempen kesedaran di peringkat akar umbi.

"Bermula 2019, Kerajaan Negeri Selangor juga akan memperluaskan lagi kempen bioplastik dan polistirena ke sekolah-sekolah dan kantin sekolah sebagai usaha pendidikan awal,” katanya di Sidang Dun, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, kempen bebas beg plastik di Selangor boleh dianggap berjaya berdasarkan maklumat diterima bahawa hasil kutipan caj beg plastik yang semakin berkurangan di pasar raya.

"Keadaan ini buktikan kebanyakan pengguna sudah biasakan diri bawa beg sendiri semasa beli belah. Kerajaan juga sedia mempertimbangkan cadangan menggunakan beg kertas sebagai alternatif kepada beg plastik.

"Bagaimanapun ia perlu diperhalusi mengambil kira penggunaan kertas juga mempunyai kesan buruk terhadap alam sekitar kerana akan melibatkan penebangan pokok selain tidak sesuai untuk barang basah dan berat,” katanya.

Selangor mula melaksanakan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan, pada setiap Sabtu.

Pengguna perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang itu disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.

Kempen itu kemudiannya dilanjutkan kepada setiap hari mulai 1 Januari 2017 dan turut merangkumi kempen bebas bekas polistirena.