KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pagi semalam bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.
Abdul Hadi berkata, pertemuan berlangsung di Yayasan Al-Bukhary, ibu negara itu dihadiri Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
"Pertemuan lebih berkait dengan pentadbiran, ia positif," kata selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat di Dewan Taman Padang Midin di sini.
Hadir sama, Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali dan ADUN Alor Limbat, Ariffin Deraman.
Menurut Abdul Hadi, dalam perjumpaan itu turut dibangkitkan adalah tentang bayaran wang tunai petroleum (WTP), Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan projek-projek Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah selesai membuat bayaran WTP bagi tahun 2018 kepada Kerajaan Terengganu beserta pemotongan hutang.
"Yang peliknya Sabah dan Sarawak tak potong hutang, kenapa Kelantan, Terengganu potong hutang?,” soalnya.
Sehubungan itu katanya, Pas akan mengadakan perbincangan susulan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Hadi enggan mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abd Aziz menafikan rakaman audio suaranya mengenai penerimaan wang dari UMNO atas keputusan parti.
"Saya tidak tengok audio itu dan saya tidak baca, jadi no komen,” katanya.