Peluang akhir lima atlet para uji panahan ke Tokyo

Iklan
Suresh bakal membuat penampilan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

KEJOHANAN Para-Archery European Cup di Nove Mesto nad Metuji, Republik Czech pada 5-11 Julai depan, bakal menjadi medan terakhir bagi lima atlet memanah paralimpik negara untuk memburu slot ke Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos depan.

Jurulatih skuad memanah para negara, Marzuki Zakaria berkata, seramai lima atlet yang menyertai kejohanan itu berpeluang untuk menguji panahan ke temasya di Tokyo iaitu Hasihin Sanawi dan Jennyla Kueh untuk acara recurve manakala G Daneshen, Norsaadah Wahab dan Norjannaton Abd Jalil bagi acara compound.

Iklan
Iklan

Marzuki Zakaria berkata, dua lagi atlet para yang telah layak ke Tokyo iaitu S Suresh (recurve) dan Wiro Julin (compound), akan turut serta dalam kejohanan berkenaan sebagai aksi pemanas badan sebelum turun berjuang di ibu kota Jepun nanti.

"Saya berharap agar kesemua atlet ini mendapat pelepasan Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Sukan Negara, untuk bertanding di Republik Czech nanti.

Iklan

"Ini kerana peluang bertanding di sana bergantung kepada situasi semasa Covid-19, jika tidak hanya Suresh dan Wiro sahaja yang akan mewakili negara di Tokyo nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Marzuki berkata, penampilan skuad memanah para negara di Republik Czech itu bakal menjadi aksi pertama, selepas lebih setahun tidak merasai suasana kejohanan antarabangsa, dengan kali terakhir bertanding di Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, Thailand pada Oktober 2019.

Iklan

Suresh menempah slot ke Tokyo pada Jun 2019 selepas menjuarai acara recurve lelaki terbuka pada Kejohanan Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda, manakala Wiro layak setelah menang pingat perak acara compound lelaki dalam Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, Thailand pada Oktober 2019.

Sukan Paralimpik Tokyo dijadual berlangsung pada 24 Ogos-5 September depan.

Sementara itu, jurulatih berusia 48 tahun itu memaklumkan, tiga atlet dalam acara recurve iaitu Suresh, Hasihin dan Jennyla, dijemput menyertai kejohanan simulasi bersama atlet memanah kebangsaan yang lain pada 7-8 April ini, di Bukit Jalil.

Ujian simulasi ini bakal menguji kemampuan tiga atlet berkenaan setelah lama tidak beraksi pada mana-mana saingan tempatan, selepas kali terakhir berentap di kejohanan simulasi pada November lepas.

Beliau pada masa sama gembira dengan komitmen ditunjukkan anak buahnya dalam sesi latihan dijalankan, selepas kembali ke kem latihan di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, di sini, sejak awal Mac lalu.

"Alhamdulillah, saya lihat semangat mereka masih membara walaupun terpaksa menjalani latihan di rumah masing-masing, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini dan kembali fokus mendapatkan semula rentak permainan serta memperbaiki teknik memanah,” tambahnya. - Bernama