Anggota keselamatan pantau aksi JDT-Melaka malam ini

Iklan
Kelihatan para penyokong Kelab Johor Darul Takzim (JDT) yang pertama tiba untuk mengimbas suhu semasa tinjauan pada perlawanan Liga Super JDT menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI- Kira-kira 100 anggota keselamatan ditugaskan untuk memantau pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) oleh penonton yang menyaksikan perlawanan Liga Super membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Antara yang terlibat Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota marshall Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sport Bubble Volunteer daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Iklan
Iklan

Selain itu, perjalanan proses turut dipantau sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama sejumlah pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Di sisi lain, tinjauan Bernama mendapati penonton diwajibkan memakai pelitup muka, cecair pembasmi kuman serta beratur dengan jarak satu meter sebelum dibenarkan memasuki perkarangan stadium.

Iklan

Setibanya di stadium, mereka perlu mengimbas QR Code MySejahtera dan QR Code pas masuk untuk memasuki pintu masuk ke tempat duduk.

Sementara itu, penonton pertama yang mendaftar masuk ke stadium seawal pukul 6 petang Daing Pelawa Abdul Majid, 34, berkata dia berharap perlawanan malam ini berlangsung dengan lancar dengan semua mematuhi SOP.

”Kita tahu semua berasa teruja kerana malam ini adalah kali pertama dapat menyaksikan perlawanan tetapi jangan lupakan SOP. Ia penting untuk menentukan perlawanan selepas ini boleh disaksikan oleh lebih ramai penonton,” katanya.

Iklan

Bagi pengemudi sorakan Boys Of Straits Nor Shazrin Nor Samsudin pula, perlawanan kali ini menuntut semua 700 pesorak mereka memakai ‘face shield’ dan duduk berjarak di antara satu sama lain.

"Diharapkan dengan kehadiran kami ini, JDT akan membuat yang terbaik,” katanya.

Perlawanan JDT dan Melaka United malam ini adalah projek percubaan KBS untuk membenarkan penonton kembali ke stadium musim ini.

Selain aksi kedua-dua pasukan ini, turut terlibat dalam projek itu perlawanan antara Kuala Lumpur City FC menentang Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, esok.