PENDATANG baharu, Tuneboss-Pink Racing Team (TBPR) berazam mencipta kejutan pada pusingan 2, Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 di Litar Sepang Utara mulai 3 hingga 4 April ini.
Pemilik TBPR, Nur Atikah Azwar berkata, prestasi cemerlang dipamerkan pelumba-pelumba TBPR pada pusingan 1 di Sepang Selatan, Tangkak, Johor, 20 hingga 21 Mac, perlu diteruskan pada perlumbaan kali ini bagi merealisasikan 'kejutan' berkenaan.
Justeru, Nur Atikah berharap pasukannya itu mampu mengekalkan momentum berkenaan dan seterusnya melakar kejayaan pada perlumbaan kali ini.
"Reputasi selaku pendatang baharu dilihat bukan alasan bagi TBPR untuk tidak mengutip mata pada pusingan 2 kali ini.
"Kami juga sedar, kami tampil pada kejuaraan berprestij ini dengan segala kekurangan tetapi ia bukan halangan untuk kami melontarkan cabaran.
"Bagaimanapun, bagi saya, ia (kemenangan) bukan perkara yang mustahil untuk dicapai jika segala persiapan berjalan lancar seperti yang dirancangkan," katanya pada Jumaat.
Debut TBPR pada pusingan 1 lalu agak memuaskan apabila menyaksikan pasukan berkenaan berada pada kedudukan ketiga secara keseluruhan dengan 19 mata.
Bagi kategori CP125, pelumba TBPR, Siti Norafizah Mohamad (Fifi), menduduki tempat kelima dan Md Harith Farhan Baharin (kelapan) manakala bagi kategori Wira, Siti Norsyafiyah Alia Saarizan menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-17.
Ia sekali gus menyaksikan Siti Norafizah berada pada kedudukan kelima dengan 11 mata dan Md Harith di kedudukan kelapan dengan lapan mata.
Sementara itu, Atikah mengakui merasai tekanan bagi mengharungi perlumbaan pusingan 2 setelah tampil dengan agak 'luar biasa' pada pusingan 1 dua minggu lalu.
Malah, Nur Atikah turut mengakui tidak pernah terfikir bahawa pelumba TBPR mampu untuk berada dalam kelompok hadapan pada saingan pusingan 1 sebelum ini.
"Sebagai pasukan baharu dalam Cub Prix, masih banyak lagi benda yang mereka perlu dipelajari, namun saya tetap berharap agar mereka melakukan yang terbaik dalam setiap pusingan," katanya.