KOTA BHARU – Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengenai status pemilihan parti itu pasti mempunyai alasan tersembunyi walaupun dilihat sebagai tidak demokrasi.
Pemerhati Politik, Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, antara alasannya ialah mungkin untuk mengelak perpecahan dalaman parti itu sehingga berlaku penghijrahan ke parti lain.
Menurutnya, perpecahan juga mungkin berlaku kerana UMNO kini dilihat kucar-kacir dan wujud kumpulan kecil yang tidak 'sekapal' dengan kepimpinan tertinggi parti.
"Apa yang MKT buat itu sudah betul kerana mungkin berlaku perpecahan jika pemilihan dilaksanakan. Walaupun dilihat sebagai tidak demokrasi, namun jika itu yang terbaik, apa salahnya.
"Bukan UMNO sahaja yang tangguh, parti lain pun ada yang tangguh. Perkara ini tidak pelik. Apa yang penting, pemimpin dan ahli UMNO perlu membuka minda, jangan pula hal keluarga kita, kita cerita kepada orang. Cerita pula di laman sosial, itu tidak profesional.
"Jika kita tidak bersetuju dengan ibu bapa atau adik beradik, bincanglah di rumah. Bukan di kedai makan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai keputusan MKT berkenaan dengan penangguhan pemilihan parti itu.
Menurutnya, pemilihan parti yang dibuat sebelum PRU15 boleh menjejaskan usaha penyatuan ahli dan persediaan yang telah dilakukan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, pada masa sama, UMNO seharusnya berjiwa besar dalam memberi ruang kepada kepimpinan baharu untuk mengemudi parti.
"Ada sifir tertentu mengatakan UMNO tidak mahu pemimpin baharu kemudi parti, mereka tetap mahu yang senior supaya masa depan terjamin, sebab itu dilambatkan pemilihan dan sebagainya.
"Bagi saya, UMNO perlu berjiwa besar. Kemasukan dan suara lantang pemimpin muda diperlukan untuk kembalikan kepercayaan rakyat pada parti itu.
"Jika mereka ‘ketepikan’ suara-suara tersebut, mungkin mereka akan hilang sokongan rakyat selepas ini. Perkara itu tidak mustahil. Sebab yang sedang menilai ketika ialah rakyat, bukannya kita sesama pemimpin.
"Tidak salah untuk berkata ‘tidak’ dalam kumpulan dan tidak salah untuk berkata ‘ya’ dalam kumpulan. Apa yang penting, sama-sama perbaiki supaya perjuangan untuk membantu rakyat dapat difokuskan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menggesa UMNO menyegerakan pemilihan parti itu, Rusdi berkata, ia satu tindakan yang boleh dibanggakan sebab melihat perlunya demokrasi yang lebih sihat dalam parti itu.
Bagaimanapun katanya, jika disebabkan oleh kepentingan diri dan parti semata-mata, bukan disebabkan rakyat, maka tindakan tersebut dilihat sebagai mementingkan diri sendiri dan menjaga survivor hidup sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu pertikai, MKT tak bodoh: Tajuddin