Bazar Ramadan: Batal lesen jika gagal patuhi SOP

Iklan
Gambar kecil: Abd Rahim

KUANTAN - Peniaga bazar Ramadan di Pahang akan berdepan tindakan pembatalan lesen atau kompaun sekiranya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi mengelak penularan wabak pandemik Covid-19 dan kluster baharu membabitkan bazar Ramadan.

Iklan
Iklan

"Bila kerajaan sudah benarkan bazar Ramadan beroperasi, jadi kita ingatkan semua peniaga perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk penjarakan antara gerai-gerai.

"Tapi kalau ada peniaga yang ingkar dan masih tidak patuh pada SOP, tindakan kompaun atau pembatalan lesen akan dikenakan kepada peniaga. Kita terpaksa lakukan semua ini untuk memastikan pematuhan undang-undang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Abd Rahim berkata, selain SOP daripada MKN, peniaga juga harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan PBT.

Katanya, ini termasuk mengehadkan jumlah pengunjung memasuki sesebuah bazar Ramadan.

Iklan

"PBT mungkin boleh memperkenalkan sistem token untuk memastikan bahawa gerai tidak terlalu ramai.

"Perkara ini sudah dimaklumkan kepada semua peniaga ketika mereka memohon lesen bazar," katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, pihaknya membenarkan 30 tapak bazar Ramadan di daerah ini untuk kembali beroperasi pada tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 1,000 petak jualan disediakan kepada peniaga sepanjang Ramadan tahun ini.

"Lesen perniagaan pada Ramadan tahun ini adalah RM180 bagi jualan makanan dan minuman, manakala RM300 untuk jualan pelbagai," katanya.

Beliau berkata, selain pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu dan pemakaian pelitup muka, peniaga juga perlu mengutamakan kebersihan dalam penyediaan hidangan makanan serta minuman.

"Kita mahu peniaga mengamalkan kebersihan untuk memastikan makanan atau minuman yang dijual kepada orang ramai bersih dan selamat," katanya.

Sehubungan itu katanya, sebagai langkah pencegahan, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan memasuki lokasi tapak bazar manakala laluan masuk serta keluar hanya sehala seperti SOP aktiviti pasar malam.