Pemancing perlu patuhi SOP

Iklan
Kain rentang peringatan penjarakan fizikal yang dipasang di lokasi pertandingan Pantai Puteri Surfcasting Challenge.

MELAKA- Peserta memancing Pantai Puteri Surfcasting Challenge yang bakal berlangsung di Pantai Puteri, Melaka pada Ahad ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, pihaknya mengalu-alukan penganjuran acara itu yang secara tidak langsung mampu menggerakkan industri pelancongan domestik yang terkesan akibat Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurut Ammar, pertandingan memancing telah memberikan impak besar kepada ekonomi termasuklah memberikan manfaat kepada pengusaha hotel, inap desa, peniaga makanan, peniaga umpan dan lain-lain.

"Ini adalah kali ketiga pertandingan memancing dilaksanakan dengan SOP penuh. Penganjur telah menyediakan SOP ketat dalam melaksanakan acara ini termasuk menyediakan pancang paip PVC dengan jarak dua meter sebagai penjarakan fizikal.

Iklan

"Keputusan pertandingan dan hasil tangkapan tidak akan dipamerkan bagi mengelakkan berlaku pemancing berkumpul di kaunter hakim. Sebagai alternatif, penganjur akan mengedarkan keputusan pertandingan kepada peserta menerusi media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Acara itu telah mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka, Majlis Bandaraya Melaka (MBMB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan

Beliau juga menasihatkan semua peserta agar mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan bagi mengelak peserta dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, penganjur, Wakjali Event Management dalam kenyataannya memaklumkan, juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM25,000, naib juara RM7,000 dan ketiga RM3,000 manakala pemenang keempat hingga ke-80 juga akan menerima hadiah wang tunai serta hadiah iringan.

"Pelaksanaan acara ini bakal menyaksikan penganjur menetapkan penjarakan antara peserta ialah dua meter ketika memancing. Keluasan kawasan memancing ialah 2.5 kilometer. Dengan penjarakan fizikal dua meter, kawasan ini mampu memuatkan 1,250 peserta.

"Pertandingan bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Berikutan larangan merentas negeri, peserta dari negeri jiran yang mahu menyertai acara ini boleh mendapatkan surat sokongan daripada penganjur,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, keputusan rentas negeri tetap tertakluk kepada kebenaran daripada pihak PDRM.

Pertanyaan mengenai acara ini boleh berhubung dengan penganjur di talian 012-2141401, 019-6203040 dan 012-6823479.