SHAH ALAM - MIC mengumumkan akan terus menyokong dan kekal bersama-sama pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga menunggu keputusan muktamad dibuat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN).
Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran berkata, MIC bagaimanapun menghormati keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu lepas untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Atas semangat setiakawan BN, MIC menghormati keputusan tersebut.
"Bagaimanapun, MIC pada masa sekarang akan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan bekerjasama dengan Bersatu hingga suatu perkembangan baru dalam keputusan Majlis Tertinggi BN.
"Biar kita tunggu dan lihat pergerakan politik untuk jangka masa terdekat ini,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 di sebuah hotel di Klang pada Sabtu.
Sementara itu, Vigneswaran juga menzahirkan keyakinan bahawa UMNO dan Bersatu boleh menyelesaikan perbezaan pendapat antara kedua-dua parti itu.
"Ingin saya menegaskan di sini, saya cukup yakin UMNO dan Bersatu dapat menyelesaikan perbezaan mereka sama seperti UMNO dan Pas menguburkan masalah mereka walaupun saling bermusuhan selama 40 tahun," katanya.
Dalam ucapannya, bekas ahli Dewan Negara itu berkata, MIC diperuntukkan jawatan menteri oleh PN, walaupun tidak dicalonkan oleh sekutunya dalam BN.
Katanya, BN juga tidak mencalonkan pemimpin MIC untuk jawatan timbalan menteri atau senator.
"Namun demikian, secara ironi, kita masih dalam MIC," katanya.
Pada Jumaat, pendirian MIC mengenai hubungan dengan Bersatu dan PN susulan langkah yang diambil UMNO juga dibangkitkan dalam perhimpunan sayap parti itu.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, jika keputusan dibuat untuk mengikut langkah UMNO, parti itu mesti bersedia menjadi pembangkang dalam menghadapi PRU akan datang.