TELUK INTAN - Jabatan Perikanan tidak pernah mengeluarkan sebarang permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah yang dikenali sebagai ikan pemangsa ke negara ini bagi tujuan penternakan ikan sangkar.
Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata, spesies ikan itu tidak dibenarkan diternak dalam sangkar kerana berbahaya kepada ekosistem sungai dan sekiranya terlepas ia sangat berisiko kepada sumber sungai.
"Setakat ini, jabatan memang tidak mengeluarkan permit, tetapi jika ada penternak yang mahu membelanya ia perlu merujuk kepada jabatan dahulu.
"Jika ada kebenaran pun mungkin diternak dalam tangki, namun proses itu bukan mudah kerana kita perlu membuat penilaian yang ketat terhadap sistem penternakannya dan pembuangan sisa air,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Pada 29 Mac lalu, dianggarkan lebih 250 sangkar sebuah syarikat penternakan ikan di Teluk Intan pecah akibat dihanyutkan arus deras Sungai Perak.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 4 petang itu menyebabkan beratus ribu ikan pelbagai jenis seperti talapia merah, patin, baung dan jelawat putih terlepas ke Sungai Perak.
Turut dilaporkan terlepas adalah spesies ikan baung ekor merah sebanyak 30 tan atau saintifiknya Hemibagrus Wyckioides yang dikatakan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam.
Mengulas lanjut, Zaki berkata, siasatan awal dijalankan tidak menolak kemungkinan pemilik sangkar berkenaan menternak ikan jenis itu secara haram bersama ikan tempatan lain.
"Kita sudah melakukan lawatan dan pemantauan di lokasi dan akan menjalankan siasatan lanjut mengenainya sebelum mengambil tindakan susulan lain," katanya.
Beliau berkata, dalam kejadian minggu lalu, tali pengikat sangkar di situ putus menyebabkan ratusan sangkar ikan hanyut dengan sebahagiannya pecah mengakibatkan ikan mati dan terlepas ke sungai.
"Ikan ternakan ini diberi makan palet, jadi ia agak jinak dan tidak akan pergi terlalu jauh.
"Jadi kita sarankan kepada penduduk untuk memancing atau menjala terus ikan di situ terutama dari jenis baung ekor merah supaya spesies ini tidak membiak dalam perairan sungai kita,” katanya.