Siswazah terima gaji permulaan rendah, antara RM1,001 hingga RM1,500

Iklan
Mustapa (tengah), Shamshulkahar (kiri) dan Amran (kanan) meninjau kebun halia disini.

JEMPOL - Gaji permulaan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan tahun lepas lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), faktor berkenaan ada kaitan dengan keadaan ekonomi semasa.

Iklan
Iklan

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hal itu berlaku apabila permintaan pekerjaan berkurangan tahun lepas susulan kemelesetan ekonomi paling teruk dalam sejarah ekoran wabak Covid-19.

"Justeru, sudah pasti graduan-graduan sanggup menerima gaji lebih rendah daripada biasa tetapi apabila ekonomi pulih dijangka pertengahan tahun ini permintaan buruh dan tenaga kerja akan bertambah.

Iklan

"Pertengahan tahun ini kita akan dapat melihat pemulihan ekonomi yang lebih kukuh seterusnya memberi kesan positif kepada kadar gaji termasuk gaji bagi graduan baru bekerja," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kebun halia muda Amran Mahat di Felda Raja Alias Satu di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.

Iklan

Baru-baru ini DOSM melaporkan, siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan tahun lepas memperoleh gaji permulaan lebih rendah berbanding mereka yang memasuki pasaran pekerjaan tahun sebelumnya.

Katanya, majoriti siswazah memasuki pasaran pada tahun berkenaan menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada tahun 2019.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mustapa berkata, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan Program Pembangunan Peneroka (PPP) di seluruh negara pada tahun ini.

"Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM138 juta kepada Felda bagi PPP di seluruh negara manakala halia menjadi fokus utama PPP Dan Wilayah Raja Alias akan menerima peruntukan berjumlah RM10 juta sekali gus menjadi pusat tanaman halia negara.

"Ketika ini import halia terutama dari negara China berjumlah RM200 juta setahun dan PPP antara usaha kerajaan mengurangkan import bahan makanan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, peneroka Felda ketika ini mampu menarik nafas lega susulan peningkatan harga Buah Tandan Segar ( BTS ) yang mencecah RM900 satu tan.

"Secara purata, peneroka Felda ketika ini menerima pendapatan sehingga RM5,000 sebulan. Kenaikan harga BTS berikutan kenaikan harga minyak sawit RM4,500 satu tan dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.