Wisma Putra urus proses bawa pulang 47 warga Malaysia

Iklan
Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican (tiga kiri) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan (kanan) masing-masing mewakili pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia hadir di penjara Provinsi Banteay Meanchey bagi beberapa perundingan untuk membebaskan kesemua 47 warga Malaysia. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Wisma Putra akan menguruskan proses membawa pulang kesemua 47 warga Malaysia yang dibebaskan dari penjara wilayah Banteay Meanchey lewat petang tadi.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata beliau difahamkan Wisma Putra dalam perjalanan ke Banteay Meanchey bagi menguruskan proses dokumentasi kesemua tahanan berkenaan supaya mereka dapat pulang secepat mungkin.

Iklan
Iklan

Beliau berkata kesemua tahanan berada di pekan Banteay Meanchey dan disajikan dengan sup nasi istimewa Kemboja di sebuah restoran.

"Mereka amat gembira malam ini dan berterima kasih kepada pihak yang berusaha membebaskan mereka. Ini makanan paling istimewa mereka rasa sejak ditahan dan masing-masing tidak sabar untuk berjumpa keluarga.

Iklan

"Kita masih menunggu ketibaan pihak Wisma Putra untuk menguruskan proses membawa pulang mereka secepat mungkin. Mereka akan ditempatkan di sebuah hotel malam ini sebelum dibawa pulang ke Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Mustapha yang pernah menetap di Kemboja selama 20 tahun berterima kasih kepada kerajaan Kemboja terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan yang banyak membantu dalam membebaskan kesemua tahanan berkenaan.

Iklan

"Saya menggunakan pengalaman saya ketika berada di sini (Kemboja) untuk membantu mereka, niat saya ikhlas," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 47 tahanan warga Malaysia dibebaskan

Terdahulu, kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan itu dibebaskan lewat petang ini, selepas beberapa perundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan tersebut ditipu sindiket ejen pekerjaan.

Sementara itu, seorang tahanan Yusuf Islam Abdul Halik bersyukur apabila dibebaskan selepas berada di penjara selama 67 hari.

"Terima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah putus asa dalam membantu serta mendoakan kami. Sekarang kami dah bebas," katanya. - Bernama