KUALA TERENGGANU- [DIKEMASKINI] Seramai 5,538 majikan membuat pengambilan pekerja melibatkan 36,700 pekerja menerusi inisiatif yang diperkenalkan di bawah Program Insentif PenjanaKerjaya 2.0 dalam tempoh 1 Januari sehingga 31 Mac tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan di Terengganu sahaja, sejak program tersebut diperkenalkan yang bertujuan mengurangkan kadar pengangguran dan memulihkan ekonomi negara, seramai 182 majikan menggajikan 2,224 pekerja menerusi program yang diuruskan kementeriannya melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini.
"Saya yakin dan percaya ini adalah suatu permulaan yang cukup baik bagi suku pertama 2021 terutamanya dalam usaha menstabilkan pasaran buruh negara.
"Kami menjangkakan lebih ramai majikan dan pekerja tempatan dijangka menerima manfaat daripada program ini apabila lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Perasmian Karnival PenjanaKerjaya Terengganu 2021 di Duyong Marina & Resort, di sini pada Sabtu.
Karnival yang berlangsung dua hari bermula pada 3 dan 4 April ini (Sabtu dan Ahad) di Pusat Konvensyen Duyong Marina & Resort, di sini menawarkan lebih 11,000 jawatan kosong melibatkan 85 majikan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sempena karnival yang bertujuan mengurangkan kadar pengangguran, sejumlah 3,998 peluang pekerjaan yang terbanyak melibatkan sektor minyak dan gas, diikuti dengan sektor perladangan iaitu 2,500 jawatan kosong ditawarkan.
"Selain itu, ada juga lain-lain jawatan yang ditawarkan majikan yang menyertai program ini seperti jurutera, pengurus jualan, peguam, doktor gigi, juruteknik, eksekutif pemasaran, penyelia perusahaan, kru minyak dan gas, pembantu peribadi serta jawatan-jawatan yang ditawarkan menerusi program MySTEP Perantis.
"Antara majikan yang menyertai karnival julung kali diadakan di negeri ini adalah Institut Jantung Negara Sdn Bhd, Paka Petroleum Sdn Bhd, SAA Engineering & Marina Sdn Bhd, Shin Etsu Polymer (M) Sdn Bhd, Malaysia Rall Link Sdn Bhd dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd," katanya.
Jelas Mohd Nurkhuzaini, majoriti pencari kerja sempena karnival ini berusia di bawah 30 tahun yang mana kategori usia sedemikian adalah graduan baharu yang sedang menganggur dan mereka layak mendapat manfaat daripada program perantisan di bawah PenjanaKerjaya 2.0.