KUALA TERENGGANU -"Lepas insiden itu, pengurusan kerja saya agak lambat nak dibandingkan sebelum ini kerana sakit, tapi saya kena gagahkan diri demi menyara keluarga," demikian luah Meri@ Mohd Rasiff Embong, 51, salah seorang penerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kategori hilang upaya kekal.
Operator kilang sebuah syarikat perkapalan di Gong Badak, Kuala Nerus itu berkata, dia terpaksa membuat kerja dalam keadaan menahan kesakitan akibat kecederaan di tangan kirinya tetapi itu bukan menjadi alasan untuk dia tidak bekerja.
"Saya kena bekerja walau dalam apa jua keadaan sekalipun untuk memberi makan dan menyara kos persekolahan empat anak berusia dari 20 hingga 13 tahun yang kesemuanya masih bersekolah.
"Biasanya kalau sakit sikit-sikit, saya tahan sahaja dan buat kerja perlahan-lahan. Saya tak boleh 'manja'kan diri sangat, bila sakit nak ambil cuti tahun atau cuti sakit (MC), sebab boleh menjejaskan gaji bulanan diterima," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.
Dia berkata sedemikian selepas ditemui sempena Majlis Perasmian Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 di Duyong Marina & Resort, Kuala Nerus.
Semasa diminta menceritakan insiden terbabit, dia yang berasal dari Kampung Gong Pauh, di sini berkata, kejadian berlaku pada 10 Oktober tahun lepas ketika dia bersama seorang rakan sekerja sedang menyiapkan proses awal kerja-kerja persediaan material di tempat kerjanya.
"Masa tu saya dengan seorang kawan sedang ralit menyudahkan kerja-kerja menggulung tali sehingga langsung tidak sedar ada 'material' berhampiran terjatuh sebelum saya terpijak lalu terjatuh.
"Ketika jatuh tu saya cuba bangun sebenarnya tetapi tangan kiri saya sudah tidak rasa apa-apa dan semasa itu kelihatan tangan saya seperti patah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), di sini.
"Selepas menerima rawatan, doktor mengesahkan tulang rusuk tangan kiri saya patah dan mungkin mengambil masa agak lama untuk sembuh," katanya yang turut memaklumkan diberi MC sehingga 9 Disember tahun lalu.
Menurutnya, walaupun dia diminta berehat dalam tempoh agak lama, tetapi dia tetap bersyukur kerana masih menerima pendapatan sepanjang tempoh itu difahamkan bayaran daripada Perkeso selama jumlah hari MC diberikan kepadanya.
"Bila saya dalam situasi ini, barulah saya nampak terlalu banyak faedah mencarum dengan Perkeso sebenarnya, sebagai pencarum kami tidak pernah diabaikan," katanya.
Dia yang turut menerima pampasan faedah bernilai lebih RM45,000 itu mengakui memang jumlah pampasan diterima satu rezeki buatnya tetapi tidak dapat menggantikan perasaannya yang dapat bekerja tanpa menanggung kesakitan seperti hari ini.
"Duit ini saya akan simpan untuk digunakan pada waktu kecemasan. Memang saya bersyukur sangat-sangat kerana merupakan rezeki tidak disangka buat saya sekeluarga.
"Bagaimanapun pampasan diterima tidak mampu memulangkan semula perasaan saya yang dapat bekerja tanpa menanggung sakit sebelum ini," katanya yang tetap bersyukur dengan rezeki diterima.