BELALANG hampir jadi tak ketahuan sejak dua menjak ni apabila baca pelbagai kisah dan warna-warni kehidupan manusia tatkala era pandemik Covid-19.
Manakan tidak, misalnya ada seorang hamba ALLAH bernama Firdaus Ahmed yang bekerja di Singapura dah setahun tersadai di sana kerana PKP sangat-sangat rindukan kesesakan di Tambak Johor.
Inilah pertama kali Belalang dengar orang rindukan kesesakan. Lebih-lebih lagi kesesakan di Tambak Johor.
Betapa bahana PKP dan halangan rentas sempadan telah membuatkan manusia rindukan yang bukan-bukan termasuklah kerinduan melihat kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.
Belalang doakan agar pintu sempadan dibuka semula bagi membolehkan Firdaus yang katanya dah lebih setahun tak boleh kembali ke tanahair boleh berbuat demikian.
Ketika Firdaus terkandas di negara jiran, di Bukit Puchong, Selangor, sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Bangladesh menikmati elektrik dan air percuma selama tujuh tahun tanpa disedari oleh pihak berkuasa.
Hakikat bahawa akhirnya kesemua PATI berkenaan berjaya diserbu dan ditahan adalah satu tindakan yang harus dipuji tapi yang wajib ditanya adalah kenapa selepas tujuh tahun baru mereka ini diberkas. Kenapa tidak tujuh tahun yang lalu ketika mereka baru meneroka tempat itu.
Kenapa baru sekarang?
Soalnya, mereka bukannya meneroka kawasan pedalaman seperti di Hulu Tembeling atau di hutan Endau-Rompin tapi di atas Bukit Puchong saja.
Kadang-kadang lambat bertindak menimbulkan pelbagai syak wasangka yang tidak baik untuk imej pihak berkuasa macam Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador cakap, benda berlaku depan hidung kita tapi kita buat tak kisah, macam tak ada apa yang berlaku.
Kata Hamid Bador, sikap tidak ambil kisah ini harus dihentikan demi masa depan dan keselamatan negara.
Dan di Permatang Tepi Laut, Bayan Lepas pula, sampah sarap yang mencemari saliran sungai dan tepi pantai di situ sejak lima tahun lalu telah menjejaskan bukan sahaja alam sekitar tetapi juga kualiti kehidupan masyarakat sekitarnya.
Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang, dah lima tahun kawasan tersebut tercemar dan sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai menjejaskan alam sekitar.
Sekali lagi Belalang nak tanya, kenapa kena tunggu sampai lima tahun baru nak bising. Kenapa tidak sebelum itu.
Belalang - Kepala pusing mengenangkan ini semua....