Sekolah di Sibu guna sistem penggiliran mulai Isnin

Iklan
Sekolah rendah dan menengah di daerah Sibu akan memulakan sistem penggiliran kelas bermula Isnin bagi mengekang penularan Covid-19. - Foto Bernama

SIBU - Semua sekolah rendah dan menengah di daerah Sibu akan memulakan sistem penggiliran kelas bermula Isnin bagi mengekang penularan Covid-19 di sekolah.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata, langkah itu dibuat setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesesakan pelajar ketika berada di sekolah.

Iklan
Iklan

"Kita mahu mengurangkan pelajar di sekolah pada satu-satu masa. Pada minggu lepas semasa sesi persekolahan bermula, semua pelajar hadir sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman media sosial miliknya pada Sabtu.

Jelas Annuar, bagi sekolah rendah Tahun 4, 5 dan 6, murid akan memulakan persekolahan pada Isnin, Rabu dan Jumaat manakala murid prasekolah, Tahun 1, 2 dan 3, bersekolah pada Selasa dan Khamis.

Iklan

Katanya, bagi sekolah menengah pula, pelajar Tingkatan 4 hingga 6 akan hadir seperti biasa, pelajar kelas peralihan dan Tingkatan 3 akan ke sekolah pada minggu pertama dan ketiga manakala pelajar Tingkatan 1 dan 2 pada minggu kedua dan keempat.

Annuar berkata pada hari pelajar tidak ke sekolah, mereka akan mengikuti sesi pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Iklan

Sementara itu, Annuar berkata, seramai 223 calon di bandar Sibu yang tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini disebabkan Covid-19 akan menduduki peperiksaan tersebut melalui penjadualan semula pada 6 hingga 23 April depan. - Bernama