SHAH ALAM - Pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) disifatkan sebagai inisiatif serampang dua mata kerana bantuan yang diterima lebih 320,000 majikan itu sehingga kini telah menyelamatkan kira-kira 2.7 juta pekerjaan.
Pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, program yang diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu sememangnya memberi kelegaan kepada majikan dan juga pekerja.
"Menerusi PSU, subsidi upah sebanyak RM600 diberikan kepada majikan. Majikan pula akan memberikan kepada pekerja untuk memastikan pekerja dapat terus menerima gaji dan dapat menyediakan makanan atas meja di rumah masing-masing.
"Usaha ini sekali gus dapat membantu majikan yang terjejas pendapatannya kerana dapat membayar gaji pekerja secara berterusan dan tidak perlu mengurangkan jumlah pekerja mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada masa yang sama, katanya, pekerja juga menerima manfaat besar kerana mereka tidak diberhentikan kerja walaupun majikan mereka mengalami pengurangan pendapatan.
"PSU adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.
"Matlamat pelaksanaan PSU adalah untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 bagi memastikan mereka dapat meneruskan operasi dan mengelakkan pekerja hilang pekerjaan serta pendapatan,” katanya.
Menurut Dr Barjoyai, PSU merupakan satu program yang berterusan selepas kerajaan memperkenalkan PSU 1.0 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
"Menerusi PSU 1.0, kerajaan memberikan subsidi selama enam bulan kepada majikan di semua sektor yang dihadkan kepada 200 pekerja. Kerajaan terus memperkasakan program ini menerusi PSU 2.0 menerusi pakej Kita Prihatin dengan memberikan tiga bulan tambahan subsidi bagi majikan sedia ada dan enam bulan subsidi bagi permohonan baharu,” katanya.
Beliau menjelaskan, ia kemudian disusuli PSU 3.0 yang diumumkan pelaksanaannya menerusi Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu.
Tambah Dr Barjoyai, PSU 3.0 di bawah Belanjawan 2021 ditawarkan kepada sektor pelancongan dan runcit dengan had pekerja 500 orang melibatkan tempoh subsidi tiga bulan tambahan bagi majikan sedia ada dan enam bulan bagi permohonan baharu.
"Kerajaan kemudiannya terus menambah baik PSU 3.0 Permai (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia) bagi membantu majikan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 19 Januari lalu untuk semua sektor negeri PKP untuk tempoh sebulan,” katanya.
Katanya, program itu diteruskan lagi menerusi PSU 3.0+ di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) apabila kerajaan melanjutkan lagi pemberian subsidi upah bagi sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit yang terkesan selama tiga bulandengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM700 juta.
Kekalkan semua pekerja
Sementara itu, Pengarah Urusan Fatihah Frozen Food Sdn Bhd, Fatihah Anis Ibrahim berkata, PSU membantunya mengekalkan kesemua 20 pekerja syarikatnya.
"Ketika awal-awal PKP, pendapatan sememangnya terjejas kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan menyebabkan aktiviti promosi dan pemasaran sedikit terhalang.
"Selain itu, kami juga berdepan dengan kekangan pergerakan, contohnya apabila peralatan rosak, pembekal tidak dapat datang ke premis untuk membaikinya,” katanya.
Fatihah Frozen Food merupakan PSU selamatkan 2.7 juta pekerjaan pengeluar kuih muih sejuk beku seperti roti paratha, roti canai, roti boom, karipap, popia dan samosa jenama Fatihah.
Tiada pengurangan gaji
Dalam pada itu, jurugambar di sebuah syarikat pelancongan, Fatin Syamimi Hassain, 27, berkata, keprihatinan kerajaan melaksanakan PSU membolehkannya memperoleh gaji seperti biasa walaupun keadaan ekonomi syarikatnya merudum.
"Syarikat tempat saya bekerja tidak dapat beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.
"Dengan adanya PSU ini, majikan saya masih lagi memberi gaji dan tidak mengecilkan saiz pekerja. Saya amat bersyukur kerana tidak hilang kerja ketika waktu sukar sekarang,” katanya.
Bagi kerani syarikat pembekal komponen automotif, Asiah Muhammad, 28, subsidi itu mengelakkan gajinya dipotong bagi mengimbangi beban kemerosotan jualan yang ditanggung syarikatnya sejak PKP dilaksanakan.
"Dengan jumlah pekerja yang ramai iaitu lebih 100 pekerja, memang menjadi satu beban kepada syarikat untuk membayar gaji pekerja tetapi pada masa sama, jualan juga merosot.
"Oleh itu, subsidi ini dapat menghindarkan gaji saya daripada dipotong sebab kebanyakan syarikat lain yang tidak dapat bantuan ini bertindak memotong gaji dan elaun pekerja mereka,” katanya.