GERIK - Jabatan Kesihatan Perak menafikan dakwaan tular di media sosial terdapat kematian melibatkan seorang anggota polis di Gerik disebabkan komplikasi dos kedua vaksin Covid-19.
Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya menyatakan ia adalah berita palsu.
"Berita palsu," ujarnya ringkas ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood turut menafikan mesej tular tersebut.
Menurutnya, anggota terbabit kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Taiping akibat serangan jantung.
"Untuk makluman seorang anggota dimasukkan ke Hospital Gerik semalam akibat serangan jantung dan telah dipindahkan ke Hospital Taiping, anggota tersebut berada dalam keadaan stabil.
"PDRM memberi peringatan dan menasihatkan orang ramai agar tidak memuat naik kejadian yang tidak dapat dipastikan kedudukan cerita sebenar hingga boleh mencetuskan kebimbangan kepada awam," katanya.
Zulkifli berkata, sebarang penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tular di media sosial mendakwa anggota berusia 58 tahun itu dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Gerik akibat komplikasi suntikan vaksin dos kedua pada Sabtu.